Ejen Ali Wiki
Advertisement


MISI: CABAR ialah episod kelima dalam musim kedua siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 17 November 2017.

Sinopsis[]

Seorang ejen dari kumpulan Numeros, Ocho diam-diam menyusup ke dalam Akademi M.A.T.A..

Plot[]

Para pelatih Akademi M.A.T.A. sedang menjalani latihan simulasi berbentuk di mana mereka perlu melalui larian berhalangan berupa tangga pilin untuk menuntut medal di puncak platform tinggi. Rudy sebagai pemain kedua terakhir melakukan larian yang amat lancar: menaiki tanjakan di pangkal, meloncati perintang menguncup, berlari parkour pada dinding merentasi jurang lebar, bertali gayut dan lompat melalui gelang, berlari sepanjang baki tangga sehingga dihujani tembakan droid di atas sambil tangga bertukar jadi tanjakan, membuat parkour lagi sambil melontarkan Shadow Cuff ke atas salah satu droid, melonjak ke platform sambil mengawal droid itu untuk menembak jatuh droid-droid lain lalu membantunya melantun ke atas agar dapat menyapu medal berlambang Inviso.

Ejen Leon mengumumkan bahawa Rudy telah mencapai rekod baharu 40 saat. Sambil menerima sorakan gemuruh daripada rakan-rakan, Rudy tersenyum sinis terhadap Ali iaitu pemain seterusnya. Alicia berpesan kepada Ali untuk fokus dan jangan peduli akan Rudy, namun Ali tidak endah akan kata-katanya.

Ali memulakan larian dengan kurang kemas; sungguhpun menggunakan I.R.I.S. tetapi dia gagal meloncat dengan tepat sehingga terkapai-kapai dan jatuh di bahagian perintang menguncup. Ali memasang Aero Boots untuk meluru terus ke halangan tali gayut, di mana dia sempat melalui gelang dan selamat mendarat di tangga. Menurut pesanan I.R.I.S. bahawa tangga akan berlipat menjadi tanjakan, maka dia cuba melonjak ke hujung tetapi tidak cukup jauh, maka dia tersungkur dan tergelincir. Ali menghantar yoyo ke tali gayut; dia nyaris terlanggar gelang tetapi sempat menahan diri dengan Aero Boots. Melihat keadaan Ali, Rudy tersengih, Alicia gelisah dan Khai pula bertempik menyuntik semangat. Ali kembali menaiki tangga dan menerima amaran I.R.I.S. akan tembakan droid. Dia melompat terus ke platform, memutarkan yoyo untuk menampan tembakan, menghentak salah satu droid dengan Aero Boots, melonjak lagi dan menjatuhkan semua droid dengan pancaran elektromagnet yoyonya; aksi ini mendapat pujian daripada Ejen Bakar dan cebikan daripada Rudy yang iri hati. Akan tetapi, apabila Ali hendak menuntut medal, tiba-tiba ia disedut balik ke dalam platform, menandakan masa sudah tamat.

Ejen Leon dengan kecewa mengulas bahawa prestasi Ali mengecewakan. Ali membantah atas alasan sudah melepasi semua halangan, namun Leon menunjukkan bahawa dia telah mengambil masa lima minit untuk menyelesaikan larian yang dapat dicapai oleh rakan-rakannya dalam masa seminit dua, dan oleh itu memerlukan lebih banyak latihan. Ali beredar dengan muram sehingga terlanggar Rudy yang menyamar sebagai Ali untuk mempersendakannya, mengundang gelak tawa daripada rakan-rakan lain.

Tiba-tiba, penggera berbunyi. Leon menghubungi Ejen Geetha untuk bertanya apa sedang berlaku. Geetha bergegas ke bilik kawalan dan memeriksa, lalu memaklumkan bahawa sistem keselamatan Akademi telah dicerobohi. Bakar bercadang untuk mencari mentor-mentor lain. Ditanya oleh Khai, Leon menjamin bahawa Ejen Geetha sedang menguruskan keadaan dan menyeru pelajar-pelajar bersedia untuk melaksanakan Protokol Kubu. Kecuali Ali yang tidak mengenali protokol itu, pelajar-pelajar lain bersiap dengan mengeluarkan gajet masing-masing. Ditanya akan status oleh Leon, Geetha berkata dia berjaya menghalang penceroboh daripada terus mencapai sistem dan sedang mencari puncanya, namun penggera terpadam dan penceroboh pun hilang jejaknya.

Di markas Numeros, Cinco menarik nafas lega kerana sempat memutuskan talian sebelum dikesan oleh M.A.T.A. dalam cubaan menggodam sistemnya. Ditanya oleh Uno apa yang terjadi, Cinco mengeluh bahawa sistem M.A.T.A. telah banyak dinaiktaraf semenjak dia meninggalkan agensi tersebut. Uno bertanya tentang kemajuan usahanya pula, maka Cinco menyatakan bahawa I.R.I.S. telah dijumpai, tetapi hairannya, masih dengan Ali. Uno mencemuh bahawa M.A.T.A. tersilap besar kerana masih menyandarkan I.R.I.S. pada budak itu dan memanggil Ocho untuk tampil.

Suatu ketika kemudian, Ali tiba di sekolah dengan menunggang skuter dan membawa Comot sekali. Di situ dia disapa oleh Viktor yang mempelawanya untuk menghadiri kejohanan e-sukan antara sekolah yang akan disertainya bulan hadapan. Ali sukar memendamkan wajah muram kerana masih terkesan dengan prestasi hambarnya di latihan simulasi. Disedari oleh Viktor, dia membuat-buat alasan bahawa dia sering diganggu seorang rakan sekelab yang menunjuk-nunjukkan koleksi setemnya. Viktor mengujar bahawa itu hal remeh sambil mereka berdua berjalan ke kelas, tanpa disedari mereka dihendap oleh Sasidaran.

Sasidaran keluar dari persembunyian dan membentak ke arah Viktor untuk mengingatkan bahawa hari ini akan keluarnya keputusan ujian sejarah. Sasidaran panas hati kerana pernah diatasi oleh Viktor dalam keputusan ujian lepas dan berikrar akan membalas balik. Belum sempat dia habis bercakap, loceng sekolah berbunyi, maka Ali dan Viktor bergegas pergi, meninggalkan Sasidaran menggeram.

Di dalam kelas, Puan Munah mengumumkan keputusan ujian sejarah yang mana tempat pertama diraih oleh Alicia. Tidak semena-mena Boy menepuk tangan membuat seluruh kelas silu, sementara Sasidaran menghentam meja kerana kecewa. Puan Munah bersambung mengumumkan tempat kedua ialah Sasidaran, maka Sasidaran pun naik bermegah-megah secara terlajak sehingga ditegur "buang tebiat" oleh Puan Munah. Viktor kekal tidak ambil kisah tentang kedudukannya dengan Sasidaran.

Selepas waktu sekolah, Sasidaran berlagak di hadapan Viktor kerana mengatasi markah ujian sejarah dan berazam untuk mengatasi Alicia kemudian. Viktor dengan tenang mengucapkan "Bagus, teruskan" kepadanya. Ali yang menemani Viktor bermain tablet, menanya Viktor tentang kerenah Sasidaran, maka Viktor menjawab bahawa dia tidak mementingkan kedudukan asalkan telah membuat yang terbaik sambil menimba ilmu agar lebih bijaksana, malah belajar bukan untuk bersaing dengan pelajar lain semata-mata. Kata-kata itu membuat Ali termenung, sementara Viktor tiba-tiba merengus kerana markah tertingginya dalam permainan diatasi pemain lain.

Di mesyuarat mentor Akademi M.A.T.A, General Rama mempersoal sama ada seluruh sistem selamat sama sekali tanpa sebarang kebocoran maklumat atau tertanamnya alat pemusnah. Ejen Geetha mengesahkan tidak terdapat sebarang kesan mencurigakan dan mengulas bahawa pencerobohan seolah-olah tiada motif. Ejen Karya menduga bahawa sistem mungkin hanya mengalami gangguan tanpa sebarang penceroboh, maka Geetha membalas kurang pasti. General berpesan bahawa mereka semua mesti berwaspada kerana boleh diserang oleh musuh bila-bila masa sahaja. Ejen Bakar setuju dan mengingatkan bahawa terdapat "aset penting" yang perlu dikawal di Akademi.

Ali menghadiri Akademi dengan wajah sugul, disambut oleh rakan-rakan yang berbisik-bisikan. Khai berteriak berhati-hati dan Ali pun nyaris terlanggar robot R-O milik Khai yang memecut lalu. Khai pergi bertanya khabar, maka Ali teragak-agak membalas. Moon turut hadir bertegur sapa, mendapati Ali lambat menjawab sapaan Khai, maka Ali mengeluh bahawa dia dipandang serong oleh rakan-rakan lain. Moon berpendapat bahawa Ali diumpat sejak semalam kerana gagal menyerlah walaupun memakai I.R.I.S. Khai kesal dengan kata-kata lancang Moon tetapi juga hairan bagaimana Ali dapat mengalahkan Djin sedangkan tahap kemahirannya tidak seberapa. Maka Ali pun bercerita tentang "Override Mode" I.R.I.S.

Di mesyuarat, Ejen Leon berpendapat bahawa adalah berkesan jika Ali dihantar untuk mengalahkan Uno jika Override Mode sehebat yang dikhabarkan. General menyangkal dengan mengingatkan bahawa Override Mode sehebat mana pun merupakan fungsi yang sangat tidak stabil dan oleh itu menjadi punca projek I.R.I.S. dihentikan, malah ketua-ketua teras juga memberikan amaran keras supaya ia tidak sekali-kali diaktifkan semula. Ejen Karya bertanya apa yang begitu merisaukan, maka General menceritakan bahawa Ali dikawal oleh I.R.I.S. ketika melawan Uno.

Khai menyoal Ali sama ada dia akan menjadi lebih hebat daripada mereka yang lain jika memasuki Override Mode, maka Ali menjawab mungkin. Moon teruja dengan jawapan itu dan bercadang bahawa Ali boleh mengalahkan Rudy dengan mod tersebut. Khai menegur kata-kata Moon, maka Moon mengaku bergurau, dan Ali hanya tertawa dengan segan.

Ejen Bakar mengungkit tentang ketegangan antara Ali dan Rudy. Oleh itu, Leon mencadangkan bahawa Ali dan Rudy digabungkan dalam satu pasukan. Demikianlah yang dilakukan oleh Bakar dengan menyertakan Rudy bersama Ali dan Alicia dalam pasukannya untuk misi seterusnya.

Ejen Bakar membawa anak-anak buahnya termasuk Comot ke kilang pembuatan senjata C-Tech untuk menyiasat kejadian sistem keselamatan terpadam. Bakar mengagumi kecanggihan automasi dalam kilang yang tidak bergantung pada kendalian manusia. Ali terkata-kata dia baru sedar akan tiadanya orang dalam kilang, maka Rudy mengejeknya kerana tidak sedar walaupun menggunakan I.R.I.S. Ali mula merungut kerana digandingkan dengan Rudy, maka Bakar berpesan bahawa itu kehendak mentor-mentor untuk mereka saling mengenali dan belajar bersama-sama. Ali menyanggah, maka ini mengundang tengkingan Alicia yang menuntut Ali untuk fokus dalam misi daripada tercari-cari kawan. Bakar bersetuju dan mengajak anak-anak buahnya mencari bilik keselamatan. Ali mengomel sehingga sedar dirinya ketinggalan dan mengejar.

Rudy sudah berada di bilik peleburan dan menunjuk arah. Alicia memasuki bilik peleburan dan memandang-mandang sekeliling bersama Rudy. Comot mengiau-ngiau menunjuk ke arah kamera CCTV yang pecah, maka Alicia dan Rudy pergi menjenguk. Di bawah kamera terdapat selonggok benda halus hitam. Alicia memungut salah satu benda hitam itu dan memanggil Ejen Bakar. Bakar dan Ali baru sahaja masuk sambil bersembang tentang masalah Ali dengan Rudy, maka Rudy dan Alicia pun sakit hati. Rudy mengecam Ali kerana mengumpatnya, dan Ali pun mencemuh Rudy menyibuk. Rudy menggesa Ali berbincang secara bersemuka daripada menjadi penakut, namun Ali berkeras tidak mahu sepasukan dengannya. Bakar cuba meredakan ketegangan namun pertengkaran kian meruncing.

Ketika Ali dan Rudy bertengkar, benda-benda hitam kecil mula berkumpul, malah yang ada dalam tangan Alicia pun melayang pergi. Alicia melastik untuk menarik perhatian Ali dan Rudy, jadi mereka pun menyedari bahawa kerumunan hitam berubah menjadi bentuk tangan dan cuba menghentam mereka. Bakar menyeru Ali dan Rudy berundur dan cuba menghalang dengan Perisai Plasma, tetapi dia ditimpa dan ditangkap. Diheret oleh tangan besar hitam, Bakar meraung memanggil Ali. Ali hendak pergi tolong tetapi dihalang oleh Alicia kerana mahu dia menjaga I.R.I.S.

Pelatih ejen bertiga diserang lagi oleh kerumunan hitam. Ali menampan dengan putaran yoyo, Alicia melastik dan Rudy pula membalik kuang untuk mengelak, sementara Comot berlari keluar dari bilik peleburan. Rudy mendesak Ali berfikir dan gunakan I.R.I.S. untuk mengesan punca kerumunan hitam itu, namun Ali ingkar. Alicia mengulangi gesaan Rudy, jadi Ali pun akur dan memasang ciri sinar X lalu terjumpa lembaga di sebalik dinding pemisah. Maka dia pun bergegas ke situ, disusuli oleh Alicia dan Rudy. Sebaik sahaja sampai, mereka nyaris dicekau oleh kerumunan hitam. Di situ mereka bersemuka dengan susuk berbentuk manusia tinggi lampai dan berwajah seperti memakai topeng gas yang mengawal kerumunan hitam.

Lembaga yang dikenali sebagai Ocho itu menghantar kerumunan hitam untuk menyerang pelatih bertiga. Alicia melastik ke merata tempat, Rudy menangkis secara terajang, dan Ali pula sekali lagi memutarkan yoyonya, tetapi dipukul dengan kencang sampai tercampak ke hujung. Ali dikepung dan nyaris dibaham oleh kerumunan tetapi sempat ditarik keluar dengan Shadow Cuffs oleh Rudy yang terasa leceh. Alicia bercadang untuk menarik perhatian lembaga itu, tetapi Ali meluru ke arah Ocho dan bercadang untuk menggunakan Override Mode.

Cinco muncul di balkoni tinjau bilik peleburan dan menyindir cubaan Ali melakukan Override Mode. Ejen Bakar yang masih berada di situ, masih terikat dengan kerumunan hitam, merayu kepada "Jenny" untuk kembali ke pangkuan M.A.T.A. Cinco menyanggah dipanggil dengan nama itu dan mengawal tabletnya untuk memperbesar kerumunan Ocho. Alicia lantas mengecam Cinco sebagai pembelot dan melonjak sambil melastik ke arahnya, tetapi ditangkis oleh kerumunan seperti perisai. Rudy melonjak menyerang Ocho, dan Ocho membalas dengan menghantar kerumunan. Rudy menjejak dan berlari sepanjang kerumunan lalu melempar Shadow Cuffs ke arah Ocho, namun dia ditembak jatuh dan dihentam oleh kerumunan. Ocho segera melucutkan Shadow Cuffs. Ali menyerang belakang Ocho dengan yoyo, maka Ocho segera menaikkan perisai kerumunan untuk menyangkutkan yoyo. Ocho kemudian mengarahkan kerumunan memerangkap Ali dengan mengikatnya sambil membentuk kubah untuk melitupinya sementara Cinco menyaksikan sambil tersengih.

Tiba-tiba, Bakar datang memecahkan kubah dan mengeluarkan anak saudaranya. Ejen Karya pun muncul melemparkan kad-kad ke arah Ocho, diiringi Ejen Geetha dan Ejen Leon. Bakar berterima kasih kepada Geetha kerana tolong melepaskannya dari ikatan kerumunan, sementara Leon menyuruh Ali mengundurkan diri kerana tidak mahu diganggu. Ejen Karya bertanya apa benda yang mereka hadapi, maka Geetha menggelarnya Microbug, robot-robot kecil yang berfungsi seperti perosak dan oleh itu diharamkan penggunaannya.

Ocho menghalakan kerumunan Microbug ke arah mentor berempat tetapi ditepis. Leon mengimbas Ocho dengan jam tangan datanya dan mendapati jarak serangannya kira-kira 20 meter dan kelajuannya sederhana. Kemudian, dia mengeluarkan Revolver dan menembak-nembak ke arahnya. Tembakan tidak berapa berkesan, dan Ocho pun membalas dengan lemparan Microbug tetapi Leon sempat mengelak. Karya melawan Microbug dengan Mystic Blade sambil bertanyakan rancangan kepada Leon. Leon mengingatkan rakan-rakannya tentang Misi Air Hitam. Bakar tertangkap maksudnya dan meluru ke arah Ocho sambil menumbuk-numbuk perisai Microbug yang menghalang. Leon menembak dari sebelah kanan Ocho, dan Ocho segera menampan dengan perisai sambil membentuk tangan ke arah Bakar. Karya melempar kad-kad untuk menghalang tangan itu sementara Geetha memancarkan Nano Enhancer ke arah Bakar untuk memperkuat serangannya.

Cinco mendapati bahawa musuhnya sedang menumpukan serangan melalui Bakar dan mengarahkan lagi Microbug dikeluarkan. Ocho yang tidak berbahasa menggeram, maka Cinco memujuknya untuk mengeluarkan lagi walaupun berbahaya. Ocho menghumban kepulan Microbug ke arah Bakar. Bakar mengelak, tetapi Karya ditimpa dan terpaku di kaki dan hendak dibaham. Leon menerima pancaran Nano Enhancer dan menembak bertubi-tubi ke arah kerumunan Microbug. Bakar menumbuk tembok Microbug lagi tetapi tangannya tersumbat. Cinco mengejek Bakar bernasib malang. Pada ketika ini atas seruan Leon, Karya menjelma dari kain silap mata di belakang Ocho, membuat Cinco terkejut. Geetha memancarkan Nano Enhancer kepada Karya, dan Karya dengan lincahnya melempar kad sehingga menjatuhkan Ocho dan Microbug pun terlerai.

Bakar bersiap sedia untuk membelasah Ocho, tetapi diugut oleh Cinco yang mengacukan senjata ke arahnya. Bakar merayu kepada "Jenny" untuk berdamai, namun tembakan laser tidak terhalang. Karya sempat menepikan Bakar sebelum terkena, dan laser itu terkena dinding dan menyebabkan lubang besar. Cinco menghilangkan diri sementara Ali pergi memapah Bakar.

Cinco kembali di markas sambil mengelap peluh. Disoal oleh Uno, Cinco gembira melaporkan bahawa semuanya telah berjalan seperti yang dirancang. Dia mengingati bahawa sewaktu Ali diperangkap, sebutir robot terbang dihantar ke dalam kubah untuk mengimbas I.R.I.S. untuk mengumpul data ke dalam tablet, maka kini dia menjalankan proses memindahkan hasil risikan dari tablet ke dalam komputer Numeros.

Watak[]

Trivia[]

  • Episod ini diberi tajuk 'MISI: CABAR' kerana pada klip Ali dan Rudy saling bertatap-tatapan, dia kemungkinannya akan mencabar dirinya, namun tidak sempat kerana lonceng kecemasan berbunyi.

Galeri[]

Video[]

Navigasi[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement