Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: AKADEMI ialah episod pertama dalam musim kedua siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 22 September 2017.

Sinopsis[]

Ali, Bakar, Comot dan Alicia sedang dibawa ke Akademi M.A.T.A., tetapi dengan syarat bahawa Ali mesti bersedia untuk satu ujian untuk melayakkan dia masuk.

Plot[]

Ali, Bakar, Alicia dan masing-masing berada di atas Jambatan Cyberaya dan bersedia untuk menghentikan Komeng dan geng penyamun bermotosikalnya daripada mencuri bekalan Azurium dari sebuah lori bermuatan panjang. Pemandu lori leka melayan muzik dan langsung tidak menyedari kehadiran geng tersebut. Sebaik sahaja mengesan kehadiran mereka, Ali tanpa menghindari arahan Bakar bertindak sendirian, bergayut dengan yoyonya dan terjun ke arah Komeng. Malangnya, serangan Ali tersasar dan dia terlanting sehingga terlanggar cermin depan kereta.

Kesal dengan perbuatan Ali, Bakar dan Alicia beralih ke Pelan B, di mana Bakar turun ke atas lori dan bertindak menjatuhkan semua ahli Komeng di atas lori itu dengan bantuan Alicia yang melastik dari jambatan. Alicia diarah oleh Bakar untuk menyasar Komeng, jadi Alicia bergerak untuk mengejarnya.

Ali kembali ke tempat kejadian dengan menunggang skuternya, kali ini membawa Comot untuk menyerang ahli geng. Ali turut beraksi mengikat yoyo pada satu motosikal dan menunda laju-laju sehingga menjatuhkan semua motosikal yang lain sepanjang jalan. Dia disuruh oleh Bakar untuk menahan Komeng dan menuju ke arah ketua geng itu dengan penuh yakin. Komeng mengubah tayar motosikalnya menjadi berduri dan berpatah balik untuk merempuh lori, tetapi dihalang oleh Ali dengan ledakan yoyonya sehingga tercampak ke laut. Dengan itu, Ali bermegah dengan kejayaannya apabila pasukannya berkumpul semula.

Dalam perjalanan pulang, Bakar menasihati ejen muda berdua bahawa tidak penting siapa yang berjaya menjatuhkan musuh asalkan misi dijayakan bersama-sama. Mereka tiba di tempat persalinan pakaian ejen yang disamarkan sebagai mesin jual minuman. Ali mendapati Alicia merajuk dan mengacahnya dengan menjemput masuk kemudian memintas masuk dahulu. Setelah bertukar pakaian, Ali disiku oleh Alicia yang melintas. Ali menyuarakan rasa teruja menanti hari kemasukan ke Akademi M.A.T.A., tetapi Bakar serius berpesan bahawa Akademi bukan untuk main-main dan di situlah dirinya pernah menerima latihan yang paling dahsyat seumur hidup.

Keesokan harinya, kelihatan Dr. Ghazali sedang tidur di atas sofa dengan lena. Setelah terjaga, beliau memeriksa waktu di telefonnya dan menyedari bahawa dia akan terlambat. Beliau bergegas ke bilik Ali untuk mengejutkan anaknya, namun mendapati hanya Comot berada di atas katil. Beliau pergi pula ke dapur dan menemui sepinggan sandwic dan secawan kopi di atas meja makan. Terdapat nota yang ditinggalkan oleh Ali yang mengatakan bahawa itu merupakan sarapan untuk ayahnya dan dia pergi ke sekolah terlebih dahulu. Pada ketika inilah Ali sudah bertolak, membawa skuternya ke sekolah dengan penuh laju dan lincah.

Di lorong belakang yang sering dilalui oleh Ali, pasangan pembuli Syed dan Shaun membina tembok dengan kotak-kotak kosong dan tong sampah dengan tujuan memerangkap Ali. Namun begitu, Ali dengan tenangnya berjaya mengatasi halangan dengan melompat ke atas tembok sehingga ia runtuh dan terhempap dua pelajar itu. Boy, satu lagi mangsa Syed dan Shaun yang menyorok di situ pun menarik nafas lega dan bergerak.

Ali sampai awal di kelas, malah mendapat pujian daripada Viktor. Puan Munah yang muncul mengejut pun mengulas bahawa Ali tidak pernah datang lambat bulan ini, sentiasa menyiapkan kerja rumah dan keputusan makin meningkat, tetapi dia tidak berniat untuk memuji, malah dia mengingatkan Ali bahawa semua itu tidak bermakna selagi Ali gagal dalam subjek Sains yang dianggap terpenting di sekolah. Ali dengan gugup mengucapkan terima kasih sambil digelakkan oleh rakan-rakan sekelas.

Belum sempat Puan Munah memulakan kelas, tiba-tiba datangnya seorang Cikgu Bidin melakukan pengumuman tergempar bahawa Ali belum berdaftar untuk mana-mana kelab kokurikulum dan oleh itu terus dimasukkan ke dalam Kelab Mengumpul Setem dan dikehendaki hadir di Bilik 52 selepas waktu sekolah. Ali tergamam dengan hal ini, manakala Boy pun bertanya kerana dia belum disertakan dalam mana-mana kelab. Cikgu Bidin menjawab bahawa Boy dalam senarai terkecuali dari kelab lalu beredar.

Dalam perjalanan ke bilik kelab masing-masing selepas sekolah, Ali mengeluh kepada Viktor bahawa dia tidak berminat untuk menyertai kelab aktiviti yang lapuk seperti mengumpul setem dan bercadang untuk bertukar kelab. Viktor tiba-tiba menjerit "TIDAAAKK!!" kerana leka dengan permainan video, kemudian dia melayan soalan Ali dengan jawapan "mungkin boleh." Ali bertanya Viktor kelab mana, dan jawabnya Kelab E-Sukan. Kebetulan Sasidaran menyeru Viktor masuk bilik, maka dia meninggalkan Ali.

Ali tidak dapat menjumpai Bilik 52 sepanjang koridor kerana bilik hanya sampai 51. Kemudian, dia terjumpa bangsal yang bertanda Bilik 52. Ali pergi memasuki bilik itu dan hanya melihat keadaan bilik dipenuhi buku lama dan berdebu. Alicia hadir secara tiba-tiba, membuat Ali terkejut dan hairan bertanya sama ada Alicia berminat mengumpul setem. Alicia kesal dengan telahan Ali dan mengingatkan bahawa tidak wujud Kelab Mengumpul Setem.

Cikgu Bidin pun muncul, dan Ali pun cuba memohon untuk bertukar kelab, tetapi Cikgu Bidin menghalang dan menunjukkan kemahiran ahli silap mata dengan muslihat menarik dua keping setem keluar dari telinga Ali untuk diagihkan kepada kepada Ali dan Alicia. Kemudian, Cikgu Bidin meminta Ali menyisipkan setem itu ke dalam buku album setem yang merupakan kunci akses ke lif rahsia. Setelah pintu lif dibuka, Cikgu Bidin menyerahkan kad identiti kepada budak berdua dan membawa mereka naik lif. Ali teruja sementara Alicia masih berdingin.

Di dalam lif, Ali menduga bahawa Cikgu Bidin adalah ejen M.A.T.A, dan "guru" itu pun memohon untuk digelar Ejen Karya, malah dia menyertai sejak M.A.T.A. menjalankan program ejen muda. Jelasnya, tugasnya adalah mengenal pasti pelajar-pelajar berpotensi di seluruh Cyberaya untuk direkrut sebagai ejen. Ali tertanya-tanya sama ada selama ini Karya menyedari hal dia dan Alicia sebagai ejen; Alicia dengan selama berseloroh bahawa mungkin seluruh sekolah menyedari hal Ali seorang. Karya mengingatkan bahawa dia pernah menolong mereka menutup jejak untuk menjalankan misi dengan pelbagai helah seperti mengumumkan penutupan sekolah, memanggil semua guru ke bilik mesyuarat, dan mengadakan latihan kebakaran.

Sebaik sahaja lif sampai di tingkat bawah, Karya membawa Ali dan Alicia ke stesen pod di mana Bakar dan Comot sedang menunggu. Ali gembira bertemu semula dengan bapa saudara dan kucing kesayangannya. Kemudian, mereka semua menaiki kenderaan pod yang bergerak secara automatik dalam kelajuan hipersonik; semua penumpang duduk kecuali Ali yang terlalu teruja sehingga jatuh tergolek dek kelajuan. Pod sedang menelusuri terowong kaca bawah laut; Karya menerangkan bahawa Akademi terletak di pulau rahsia berdekatan Cyberaya yang tiada dalam mana-mana peta.

Pod tiba di destinasi dan mereka semua turun dan berjalan menuju ke bangunan Akademi. Karya pergi meleraikan kunci pintu besar sambil meminta yang lain bersedia untuk "sesuatu yang menakjubkan." Sebaik sahaja pintu dibuka, perasaan teruja menjadi terkilan apabila suasana dalam bangunan kelihatan porak-peranda, dikhuatiri berpunca dari pencerobohan. Karya menyuruh Bakar membawa budak berdua pergi sementara dia meninjau keadaan. Ali teragak-agak untuk mengikut bapa saudaranya kerana beria-ia mahu bertindak, tetapi akhirnya akur.

Ali, Bakar, Alicia dan Comot berlari menelusuri rangkaian koridor yang panjang. Ditanya oleh Ali, Bakar berkata dia sedang membawa mereka ke tempat berhimpun kecemasan di belakang bangunan Akademi, tetapi tidak menjamin keselamatan kerana tempatnya tidak pernah diserang. Ali hairan mengapa Akademi tiba-tiba diserang hari ini. Alicia berpendapat bahawa bukan Akademi yang disasarkan, jadi Ali menyangka I.R.I.S. yang menjadi buruan. I.R.I.S. mengesan perangkap laser sandungan di hadapan yang akan meletup jika disentuh, jadi Ali segera menyeru Bakar untuk berjaga-jaga tetapi terlambat, maka Bakar pun kelihatan tertimbus dalam runtuhan yang turut menyumbat jalan.

Comot menyeringai ke arah belakang jalan, memberikan amaran kepada Ali. Munculnya seorang lelaki yang memakai topeng berjalur hitam putih dan kot hitam, melemparkan kad-kad ke arah Ali. Ali sempat mengelak dan cuba mengesan identiti lelaki itu tetapi tidak dapat kerana isyarat dihambat oleh topeng. Ali menyoal lelaki itu sambil berlindung di sebalik cakera putaran yoyo, manakala Alicia cuba menembaknya dengan Balistik, tetapi pelurunya dipatahkan oleh sehelai kad, sementara satu lagi kad menyerang secara membalik ke belakang Alicia. Ali sempat menolak Alicia ke tepi untuk terselamat.

Ali tekad untuk mengalahkan lelaki bertopeng, tetapi Alicia menggesanya untuk melarikan diri demi melindungi I.R.I.S. Ali enggan kerana mahu mencari kelemahan lawannya. Lelaki bertopeng memukau Ali dan mengawalnya untuk menyerang Alicia dengan ledakan yoyonya. Comot masuk campur dan mencakar lelaki itu sementara Alicia berhempas-pulas menepis serangan Ali sehingga terpelanting jauh. Alicia membalik kuang ke arah Ali lalu menamparnya dan mengutuknya atas apa yang terjadi. Sedar-sedar, lelaki bertopeng sudah melarikan diri.

Comot pergi mengejar lelaki bertopeng sehingga ia memasuki suatu bilik gelap, di mana ia terperangkap dalam sangkar yang disetkan oleh lelaki itu. Ali dan Alicia pun tiba di bilik itu, sementara lelaki bertopeng bertindak melitupi kain sangkar dengan kain hitam lalu memijaknya sampai penyek. Tindakan itu membuat mereka berdua seram dan gusar, maka Ali bertindak menyerang lelaki bertopeng dengan yoyo. Ali mencari di sebalik kain hitam dan hanya terjumpa bekas sangkar yang lenyek tanpa sebarang kelibat Comot. Lelaki bertopeng mengambil kesempatan melemparkan kad ke arah Ali tetapi sempat ditangkis oleh Alicia.

Lelaki bertopeng melemparkan kad berderet-deret ke arah Alicia, dan Alicia pun mengelak satu demi satu. Ali mencekup sebelah tangan lelaki bertopeng dengan tapi yoyonya, tetapi dibalas dengan diayunkan dan dicampak. Lelaki bertopeng mengambil kesempatan dengan menghunus pedang dan menyerang Ali, tetapi Ali sempat bangun dan melawan balik dengan yoyo, maka mereka berdua pun berlaga senjata. Alicia membidik ke arah lelaki bertopeng dan menyuruh Ali ke tepi, tetapi Ali enggan kerana mahu menewaskan musuh sendiri. Alicia tetap melepaskan peluru, dan Ali pun menolong dengan menerajang lelaki bertopeng ke arah tempat peluru gugur. Dengan itu, lelaki bertopeng akhirnya ditundukkan oleh kuasa graviti peluru, dan Ali pergi menyerangnya untuk kali terakhir tetapi dihalang oleh Bakar yang datang mengucapkan tahniah.

Lampu bilik dipasang, mendedahkan ruang balkoni yang dipenuhi oleh warga akademi (para pelajar dan mentor) yang menyaksikan perlawanan tadi. Ali keliru dan tertanya-tanya, jadi Bakar menjelaskan bahawa setakat ini belum pernah ada lagi yang menjayakan misi ujian hari pertama, maka Ali dan Alicia telah mencatat rekod baharu. Ejen Karya melucutkan penyamarannya sebagai lelaki bertopeng dan meluahkan rasa kesal kerana tidak patut bermain-main tadi, maka Bakar pun menepuk bahu rakan setugasnya sambil menegaskan betapa hebat anak-anak buahnya. Karya pun memulangkan Comot kepada Ali. Mentor wanita dalam kalangan penonton mengucapkan selamat datang kepada Ali dan Alicia dan menjemput mereka naik ke atas. Semua warga beredar dari balkoni kecuali seorang pelajar lelaki berambut pacak yang menjeling ke arah ahli-ahli baharu Akademi dengan menaruh rasa curiga.

Di markas Numeros yang terletak di dalam gua, Cinco baru selesai menempa plat lengan bawah untuk lengan sibernetik Uno. Uno mengarahkan Cinco mengumpulkan semua ahli-ahli lain lalu bergerak keluar dari markas. Cinco hairan dengan arahan itu tetapi dia tetap memasang komputer untuk melakukan suruhan ketuanya.

Watak[]

Trivia[]

  • Terdapat tayangan ekslusif di GSC One Utama bagi episod ini dan MISI: ORIENTASI pada 23 hingga 24 September 2017.
  • Episod ini mendedahkan bahawa Ejen Karya adalah guru yang membuat pengumuman di sekolah untuk menutupi ketiadaan Ali dan Alicia apabila mereka pergi menjalankan misi.
  • Beberapa babak episod ini hampir sama dengan Musim 1 Episod 1, MISI: I.R.I.S.. Antaranya ialah:
    • Rutin pagi Ali.
      • Ali terlambat untuk ke sekolah dalam episod sebelum ini, namun dalam episod ini bapa Ali iaitu Dr. Ghazali yang terlambat untuk pergi ke tempat kerja sementara Ali telahpun pergi ke sekolah.
      • Ali menggunakan laluan yang sama untuk ke sekolah, kali ini dengan lancar kerana kemahirannya sebagai ejen menjadi lebih baik.
      • Ali tidak lagi menyelinap ke dalam kelasnya setelah sampai lewat, sebaliknya Ali sampai lebih awal ke kelasnya dalam episod ini.
    • Ali gagal dalam subjek tertentu.
      • Sebelum ini Ali gagal dalam dalam subjek Matematik, manakala dalam episod ini dia gagal dalam subjek Sains.
      • Ali mendapat gred F untuk Matematik sebelum ini, manakala untuk Sains dia mendapat gred D-.
      • Sebelum ini Ali meminta maaf kepada Puan Munah atas kesalahannya, tetapi dalam episod ini Ali berterima kasih atas nasihat yang diberikan oleh gurunya itu dan turut berjanji untuk memperbaiki keputusannya lagi.
    • Ali diterima untuk masuk ke dalam agensi.
      • Jika sebelum ini Ali diambil sebagai ejen muda di dalam M.A.T.A., kali ini Ali didaftarkan ke dalam Akademi M.A.T.A. pula.

Galeri[]

Video[]

Navigasi[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement