Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: COMOT ialah episod keempat dalam musim pertama siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 22 Julai 2016.

Sinopsis[]

Setelah menyelamatkan seekor kucing dari dilanggar oleh sebuah kereta, Ali menganggap kucing itu adalah kucingnya yang lama Labu, oleh itu, dia berhajat untuk membelanya. Apa yang Ali tidak mengetahui ialah kucing itu mempunyai motif yang tersembunyi - untuk mencuri I.R.I.S.!

Plot[]

M1E4 Aunty Faye syuh Comot

Pada suatu malam, Aunty Faye sedang membeli-belah atas talian menggunakan tabletnya sambil menikmati koleksi barang kemasnya yang sedia ada. Terdengar dentingan loceng pintu, dia menyambut pintu tetapi tidak nampak sesiapa. Seekor kucing jalanan yang berbulu kotor dan bermata dua warna (hijau biru) menyelinap masuk, menyebabkan Aunty Faye cuba menghalaunya dengan melemparkan barang-barang hiasan rumah ke arahnya. Kucing itu pun hilang, melarikan barang-barang kemasnya.

Di markas M.A.T.A., Ali, Bakar dan Alicia sedang menjalani latihan simulasi. Menggunakan I.R.I.S., Ali berjaya memecahkan kod ke sebuah bilik di mana terletaknya "peranti" dikawal ketat oleh perangkap gergaji cakera, laser dan tiang elektrik. Bakar melarang Ali dari mara dan menyuruh Alicia pergi mengambil peranti itu. Alicia mudah melepasi perangkap dan memasang alat penggodam pada rak peranti. Ali mendapati bahawa usaha Alicia akan memakan masa lapan minit. Tanpa bersabar, dia terus pergi melepasi halangan dengan sedikit kesulitan dan terus mengebas peranti.

M1E4 Ali dimarahi

Tindakan Ali menyebabkan penggera terpasang, dan dirinya dan Alicia terperangkap dalam bilik untuk melawan droid-droid pengawal dengan senjata masing-masing. Bakar menahan pintu bilik untuk membebaskan mereka. Ketika Ali cuba melarikan diri, dia tersandung pada kaki droid dan perantinya pun diambil tetapi sempat dikutip oleh Alicia. Droid itu menembak ke arah Ali, menamatkan simulasi. General Rama muncul dalam skrin, memarahi Ali kerana ingkar pada arahan sehingga menggagalkan "misi," dan juga menegur Alicia kerana membiarkan Ali selaku pemakai I.R.I.S. dikalahkan penjahat dengan peringatan akan akibatnya jika I.R.I.S. jatuh di tangan orang yang salah. General mengakhiri siaran dengan pesanan untuk tidak mengulangi kesilapan sama. Bakar hendak menegur perbuatan Ali tetapi Ali sudah pun meninggalkan ruang simulasi.

M1E4 Wak Musang Komeng Abang Bear

Di sebuah bangunan terbiar, seorang lelaki berpakaian serba putih dengan topi, skarf pelikat dan tongkat turun dari kereta panjang hitam. Kemasukannya disambut oleh geng penyamun dan Komeng yang sedang menikmati barang-barang kemas yang dicuri oleh kucing-kucing kawalannya malam itu (termasuk barang kemas Aunty Faye), dengan gelaran Abang Bear. Menyelongkar barang kemas dengan tongkatnya, Abang Bear memilih kalung batu delima milik Aunty Faye dan menyuruh konco-konco untuk membuang yang lain. Abang Bear dan Komeng didatangi oleh Wak Musang yang tampil untuk menunjukkan rakaman Dos memberinya I.R.I.S. Komeng mengecam lambang pada peranti cakera itu, sementara Abang Bear naik selera untuk mencurinya.

M1E4 Ayah sambut hari jadi Ali

Keesokan harinya, Ali masuk ke rumah sambil menarik nafas, menuju ke dapur untuk menyambut bapanya, Dr. Ghazali yang sedang sibuk mengerjakan tablet sambil bersarapan. Ghazali mendapati anaknya bangun awal dan memintanya tolong mengeluarkan sampah. Ali cuba bermanja dengan bapanya untuk mengingatkannya hari ini hari apa, tetapi Ghazali seakan-akan tidak endah. Ali menerima panggilan video dari Viktor melalui telefon bimbit yang mengucapkan selamat hari jadi dan mengajaknya bermain permainan terbaharu Detektif Jebat: Penaklukan Jeneral Tuah sebagai hadiah sambutan; ini membuat Ali teruja. Viktor menamatkan perbualan untuk mengikut ibunya ke pasar dan meminta Ali tidak bermain terlebih dahulu. Ghazali mengaku berpura-pura lupa dan cuba membuat "kek hari jadi" dengan sandwic dipacak lilin sebatang. Ali tidak merasai keikhlasan bapanya dan keluar melupuskan sampah dengan muram.

M1E4 Syed Shaun kejar kucing

Sewaktu Ali melupuskan sampah, dia terlihat Syed dan Shaun mengejar kucing kotor yang mencuri barang kemas Aunty Faye semalam, menggonggong peranti cakera. Peranti itu tercicir di tengah jalan, maka kucing itu berhenti untuk mengutipnya semula. Ali menyangka kucing itu ialah Labu, kucing kesayangannya yang lepas, menyedari ada kereta (yang dipandu pustakawan sekolahnya) menuju ke arah kucing lalu cepat menyelamatkannya dari terlanggar. Syed menyalahkan Ali atas perbuatan kucing itu, lebih-lebih lagi perantinya pun musnah digilis kereta, oleh itu dia hendak membelasahnya, tetapi Ali sudah melarikan kucing ke dalam rumah.

Ali menyorok di belakang pintu depan yang diketuk-ketuk oleh Syed dan Shaun. Hairan dengan kebisingan itu, Dr. Ghazali pergi menyambut pintu dan bersalaman dengan buli berdua yang membuat cerita ingin mengajak Ali keluar petang nanti. Ghazali menutup pintu dan memuji kebaikan dua budak yang disangka kawan-kawan Ali tanpa menyedari apa yang sebenarnya tadi. Ali menunjukkan "Labu" kepada bapanya, tetapi bapanya berkata itu kucing lain. Kucing itu memasuki dapur dan mengusik sarapan Ghazali sehingga tertumpah air ke atas tabletnya. Ghazali melarang Ali untuk membela kucing kerana tidak yakin dapat menjaga dirinya, malah mengingatkan bahawa Labu telah melarikan diri sejak ibu Ali meninggal. Ghazali bertolak ke kerja, dan Ali pun kecil hati terdengar kata-kata bapanya.

Kucing mengetuk pinggan sambil menjeling ke arah Ali, menandakan ia meminta untuk disuap, maka Ali mengeluarkan susu dan bekalan makanan dari peti sejuk untuknya. Sementara kucing itu makan, Ali cuba membelainya tetapi dibalas dengan deraman kucing. Ali tertanya-tanya sama ada kucing itu Labu yang dikenalinya dan berikhtiar untuk menggeletek perutnya, tetapi Labu tertidur. Mendapati banyak kesan luka pada tubuhnya, Ali merawat kucing itu dengan melekat-lekatkan plaster. Kucing itu terjaga semula dan menderam lagi. Oleh itu, Ali berhenti membubuh plaster dan bermalas-malas dengan bermain dengan yoyonya. Kucing itu tertarik dengan lantunan yoyo Ali, jadi Ali cuba menghiburkannya dengan membuat pelbagai trik yoyo. Kemudian, dia beralih kepada memancarkan pena laser untuk dikejar-kejar oleh kucing itu sehingga ia tidak sengaja menerajang foto keluarga Ali sehingga jatuh.

M1E4 Ali namakan Comot

Mujur Ali sempat menyambut foto itu sebelum pecah, lalu menatapnya dengan wajah sayu. Kucing itu menepuk kaki Ali, dan Ali pun membalas dengan membelainya. Tangan Ali comot dari membelai bulu kotor kucing itu, maka dia bercadang untuk memandikannya, tetapi kucing itu berlari dan menghilangkan diri. Ali mencari-cari dan menyelongkar seluruh rumah sambil memanggil nama "Labu." Setelah puas mencari, Ali memakai I.R.I.S. dan mengesan kucing itu bersembunyi dalam sofa. Maka dia pun menangkap kucing itu dan memandikannya. Selepas itu, Ali menyedari bahawa kucing itu bukan Labu kerana bulunya setelah dibersihkan berwarna putih dengan tompok hitam di telinga dan pinggul. Ali menamakan kucing itu "Comot" sempena bulunya yang comot sebelum mandi, dan nama itu pun disambut baik.

Ali meletakkan Comot di atas katilnya. Comot terpandang I.R.I.S. di atas meja sisi katil dan teringat akan arahan untuk mencuri barang sebegitu rupa. Ali menjawab panggilan telefon dari Viktor hendak mengajak Ali untuk bermain permainan yang diceritakan siang tadi; Ali menjawab Viktor dengan alasan bahawa dia sedang sibuk. Setelah meletakkan telefon, Ali berpaling ke arah katilnya dan mendapati Comot hilang bersama dengan I.R.I.S.-nya! Cemas, Ali mencari merata rumah lagi sehingga tidak larat, langsung tanpa menyedari bahawa Comot boleh berubah jadi halimunan. Ali menghubungi Bakar yang (sedang memikat perempuan di Zali Mart) dan menceritakan apa yang terjadi.

M1E4 Ali Bakar Alicia

Tergempar, Bakar bergegas ke rumah bersama Alicia yang mengherdik Ali atas kecuaiannya. Ali mempertikai kehadiran Alicia tetapi Bakar cuba menenteramkan mereka dan bercadang untuk memulakan siasatan di dapur kerana lapar. Ali memberi Alicia amaran untuk tidak menyentuh barang-barangnya. Memandang sekitar ruang tamu Ali yang bersepah, Alicia mendapati terdapat kesan cap kaki kucing lalu membayangkan gerak-geri kucing itu bersama Ali, malah memungut bulunya dari dalam sofa. Setelah mereka memasuki bilik dapur, Alicia mengungkit tentang siri rompakan rumah di Cyberaya baru-baru ini. Ali mengaku tidak sedar tentang hal itu, dipesan oleh Bakar bahawa seorang ejen harus tahu perkembangan sekeliling.

Bakar mendapati banyak pinggan kosong di atas meja dan menyoal mengapa Ali tidak besar walaupun kuat makan; Ali menjelaskan bahawa itu kerana dia menyuap Comot. Alicia mendakwa bahawa kucing itu telah melarikan I.R.I.S. Hairan bercampur rimas, Ali menyoal Alicia bagaimana dia tahu; Alicia menjawab dengan menunjukkan helaian bulu Comot yang bertukar halimunan dan menjelaskan bahawa kucing itu telah diubahsuai secara genetik. Dengan menunjukkan arkib berita dalam telefon bimbitnya, Alicia menerangkan bahawa dalam tiga tahun lalu, berlakunya serbuan ke atas tempat perlindungan haiwan yang didapati menjalankan eksperimen rahsia ke atas haiwan, tetapi pesalahnya sudah melarikan diri dan haiwan-haiwannya pula hilang tanpa jejak. Tambah Alicia, baru-baru ini terdapat banyak aduan kucing-kucing berkeliaran di kawasan perumahan, dan dia yakin bahawa kucing-kucing itu ada kaitan dengan siri rompakan tersebut. Ali sukar mempercayai apa yang dikisahkan oleh Alicia hatinya meruntun terkenang Comot. Bakar meminta lokasi tempat berkenaan, dan Alicia pun menunjukkannya dalam telefon.

M1E4 Comot gonggong IRIS

Pada malam hari di sarang Abang Bear, Komeng menyelongkar semua peranti berbentuk cakera yang dibawa pulang oleh kucing-kucing hambanya dan mendapati tidak satu pun merupakan I.R.I.S. Atas arahan Abang Bear, Komeng menghukum kucing-kucing itu dengan mengenakan renjatan melalui implan dalam mereka yang dikawal dari komputer bimbit. Pada masa yang sama, Comot datang dengan menggonggong I.R.I.S sambil melalui bangkai-bangkai kucing yang bergelimpangan di kelilingnya, menggembirakan Abang Bear. Gerak-geri Abang Bear dan Komeng diperhatikan melalui tingkap oleh Ali, Alicia, dan Bakar yang sudah menduga ini angkara geng Abang Bear. Alicia menduga bahawa terdapat 12 orang kesemuanya di dalam sarang, termasuk Abang Bear dan Komeng, malah mungkin bersenjata, dan mencadangkan untuk masuk melalui satu dari tiga jalan: pintu utama, pintu bawah tanah di belakang, atau siling. Bakar menyuruh Ali duduk diam-diam kerana tiada I.R.I.S. lalu mengajak Alicia mengikuti "rancangan bernasnya."

M1E4 Bakar menyamar hantar nasi lemak

Bakar menyamar sebagai penghantar nasi lemak, siap dengan sut yang diubah rupa dan misai palsu, dan mengetuk pintu utama sarang. Kedatangannya dialu-alukan oleh konco-konco yang meminta-minta ayam goreng; Abang Bear turut mencelah dengan meminta nasi lemak sambal asing kerana perutnya tidak tahan makanan pedas. Gerak-geri Bakar diawasi oleh Ali yang kekal di tepi tingkap seperti yang disuruh, tetapi perhatiannya dialih oleh Comot yang muncul di sebelah, dikejar dan ditangkap oleh konco di tangga ke bilik bawah tanah, maka dia terpanggil untuk bertindak menyelamatkan Comot.

Bakar pergi melayan Komeng yang pendek dan memberinya kotak nasi lemak berlonggok dengan mendesaknya untuk makan banyak supaya tumbuh tinggi sebagai alasan. Kemudian, dia menyandung Komeng untuk membuat Komeng tercicir semua yang dipegangnya termasuk I.R.I.S. Bakar mengambil kesempatan untuk mengutip I.R.I.S. tetapi dihalang oleh Komeng yang mencabut misai palsunya dan mendedahkan rupa sebenarnya. Terkejut, Abang Bear mengarahkan konco-konco menyerang Bakar. Alicia menolong Bakar dari jejantas siling dengan menembak semua konco yang menyerangnya dengan Balistiknya. Komeng meminta Abang Bear berundur dan menyerahkan Abang Bakar kepadanya. Bear bersetuju atas alasan isterinya sedang menunggu di rumah, sambil menyuruh konco-konco mengangkut kucing-kucing hamba ke dalam lori.

M1E4 Ali saksikan Abang Bear

Sementara itu, Ali menyusup masuk ke dalam bilik bawah tanah dan menjumpai kucing-kucing yang terkurung dalam sangkar kaca, salah satunya Comot. Tidak dapat memecah kurungan kerana tiada I.R.I.S, dia pergi bersembunyi di sebalik dinding sebaik sahaja terdengar Abang Bear dan konco-konco turun membawa sangkar bimbit untuk membawa Comot, tetapi Comot ingkar malah mencakar tangan Abang Bear. Ini membuat Abang Bear marah dan menghukumnya dengan melakukan renjatan melalui komputer bimbitnya. Ali naik marah menyaksikan penderaan itu lalu keluar untuk menghentikan perbuatan itu dengan melepaskan gelombang daya dari yoyonya untuk menjatuhkan Abang Bear, lalu menghentak-hentak komputer bimbitnya hingga musnah.

M1E4 Bakar Komeng

Di ruang legar sarang, Bakar menghumban Komeng dan bersambung membelasah konco-konconya dengan bantuan Alicia yang melastik mereka dari atas (dan juga konco-konco yang menaiki jejantas untuk mengejarnya). Komeng yang tersungkur dalam timbunan kotak bangun dan menyerang Bakar semula dengan pemukul besbol tetapi Bakar menumbuknya lalu menghumban seorang konco yang menyerang dari belakang. Bakar terhimpit dikerumuni ramai lagi konco dan menyuruh Alicia turun untuk membantunya. Komeng bangun dengan mengutip pemukul besbol dan paip di sebelah dan menyerang Bakar sekali lagi, tetapi dijatuhkan di tengah jalan oleh tembakan Alicia sementara Bakar dengan badan besarnya bangkit melentingkan semua konco yang mengerumuninya tadi. Akhirnya, Bakar bertembung dengan Komeng dan menumbuk pipinya dengan kencang sehingga I.R.I.S. tercicir lagi lalu dikutip oleh Alicia.

M1E4 Comot gigit Abang Bear

Abang Bear muncul dari bilik bawah tanah dengan Comot dalam sangkar diiringi seorang konco menahan Ali. Dia merampas I.R.I.S. semula dan mengarahkan konco-konconya menangkap dan mengurung Bakar dan Alicia di dalam sangkar kaca bersama Ali, kemudian memasang bom-bom jangka pada dinding untuk diletupkan kemudian dengan suis masa. Sebelum beredar, Abang Bear berterima kasih kepada Ali dengan sinis kerana memudahkan kerjanya. Sebaik sahaja meninggalkan sarang, Comot dalam sangkar bimbit melepaskan diri dan merampas I.R.I.S. dari pegangan Abang Bear. Melepasi semua cubaan menangkapnya oleh konco-konco, Comot memasuki semula sarang dan menyerahkan I.R.I.S. kepada Ali melalui celah pintu sangkar. Ali memakai I.R.I.S. untuk mengimbas cara untuk keluar lalu mengarahkan Comot untuk menutup suis di dalam kotak pada dinding.

M1E4 Cubaan mematikan bom

Comot mematuhi arahan dengan baik dan ketiga-tiga ejen pun bebas dan bergegas ke arah pintu keluar, tetapi pintu terkunci. Bakar meminta Ali untuk cara merungkai pintu, tetapi Ali tertumpu pada cubaan mematikan suis masa yang mengawal semua bom. Comel menghulurkan gunting dan Ali sempat memotong dawai bom sebelum ia meletup. Oleh sebab pintu bawah tanah tidak dapat dibuka, Ali berikhtiar untuk memasang semula dan meletupkan bom-bom di pintu utama untuk pecah keluar. Demikianlah yang dilakukan, dan Bakar memuji kebijaksanaan Ali dalam hal ini sementara mereka bertiga keluar dengan megah bersama Comot dalam dakapan Ali.

M1E4 Gambar keluarga Ali

Dr. Ghazali pulang dari kerja dan terkejut melihat ruang tamunya yang bersepah dengan Ali yang bergelimpangan di hadapan televisyen yang terpasang. Ghazali mendukung anaknya naik ke bilik tidur. Ghazali menyedari foto keluarganya dalam pegangan Ali, mengambilnya dan menatapnya dengan sayu. Comot tiba dan menggosok kaki Ghazali, dibalas oleh belaian mesra daripada Ghazali sendiri. Sebelum keluar, Ghazali meletakkan gambar foto keluarga yang menampilkan dirinya bersama Ali, Labu, dan arwah isterinya, di atas laci sisi katil Ali, di sebelah hadiah hari jadinya.

Watak[]

Nota[]

  • Episod ini memberikan tumpuan kepada kucing putih sesat yang dibela oleh Ali dan menamakannya sebagai "Comot", dengan itu, episod ini dinamakan "MISI: COMOT".
  • Ini merupakan episod pertama yang mana kejadian itu berlaku di luar masa sekolah.
  • Ini adalah episod pertama yang terdapat watak (kali ini ialah Bakar) menganggap bahawa Ali makan makanan yang banyak.
  • Ini adalah episod pertama yang menunjukkan gambar keluarga Ali.
    • Ini adalah episod pertama yang mempunyai pengakhiran yang silu.

Kilasan[]

Mountain Dews sebagai Hill Drops
  • Apabila Bakar mengambil makanan dari peti sejuk, salah satu botol mempunyai persamaan yang hebat sebagai "Mountain Dew" tetapi jenamanya dinamakan semula sebagai "Hill Drops".
  • Rancangan televisyen "The Amazing of Awang Khenit" dimainkan di televisyen rumah Ali.
  • Larawa adalah jolokan untuk Lazada, aplikasi membeli-belah dalam talian.
  • MassApp adalah jolokan untuk WhatsApp, aplikasi komunikasi.

Galeri[]

Cekupan skrin[]

Video[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement