Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: HARAPAN ialah episod ke-11 dalam musim kedua siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 23 Februari 2018.

Sinopsis[]

Rizwan mampu menguasai ilmu penuh INVISO dan dia menggunakannya untuk memusnahkan markas Numeros.

Plot[]

Di markas Numeros, Rizwan sedang menjalani latihan dengan Seis dan Siete. Siete melihat rakan baharunya sering melarikan diri dan mengelak dari serangan dan mengajaknya melawan balik. Rizwan meluru kembali ke arah Siete, mengelak bola yang disepaknya dan nyaris menekan mukanya dengan tangan kanannya tetapi terhenti. Siete mencekup tangannya dan hendak mencampaknya, dan Rizwan pun mengambil kesempatan menyerang lagi dengan tangan kiri tetapi terelak. Seis mencelah dengan menyepak bola ke arah mereka dan menyuruh Siete menghantar balik bola. Rizwan bertindak menumbuk bola, lalu Siete mengutuk tindakannya yang menyalahi peraturan bola sepak. Seis datang melakukan rebutan gelongsor kepada Rizwan, maka Rizwan segera menekan Seis sampai rebah.

Cinco menghentikan latihan dan menilai baik pemulihan Rizwan. Siete mengadu terlalu awal untuk berhenti, maka Cinco menyuruh kembar itu menyimpan tenaga kerana tidak mahu menanggung kecederaan pada masa ini. Seis lagi mengejek Rizwan, maka Rizwan menggondol lolipop dan mencabar kembar itu berlawan. Seis dan Siete meluru ke arah Rizwan, mengingkari suruhan Cinco berhenti; Uno pun tampil meminta Cinco membiarkan mereka.

Seis melonjak dan menyerang Rizwan dari atas tetapi ditepis. Siete menendang bola dan melepaskan gelombang elektromagnet tetapi Rizwan mengelak juga. Siete menghantar bola kepada Seis, kemudian Seis melonjak dan menyepak bola ke arah Rizwan, tetapi Rizwan memecut dari situ kepada Siete lalu menepuk perutnya sampai tercampak. Dia kemudian memecut kepada Seis. Seis mempertahankan diri dengan cuba menendang Rizwan, tetapi Rizwan mengelak lalu menepuk belakang Seis sampai rebah juga. Uno bertepuk tangan menyaksikan perkembangan Rizwan.

Selepas latihan, Uno mengulas bahawa rawatan yang dijalani Rizwan lebih berkesan daripada yang diharapkan, mengesahkan ramalannya bahawa Rizwan adalah antara yang terhebat. Namun, dia mempersoalkan perjuangan Rizwan, membuat Rizwan termenung seketika. Uno melafazkan syukur kerana Rizwan datang berjuang bersamanya lalu beredar.

Di sekolah, Viktor teruja menanya Ali sama ada dia telah mencuba Story Mode terbaharu dalam permainan Detektif Jebat. Ali mengaku belum sempat, maka Viktor pun mengata Ali rugi kerana dirinya sudah bermain sampai habis, malah mendapati wira permainan itu dikhianati oleh sahabatnya sekali lagi. Ali pun terkilan mendengar khabar itu, malah Viktor merintih terkenang nasib wiranya di mana sahabat selalu bertukar menjadi musuh.

Puan Munah melompat masuk ke dalam bilik kelas untuk memulakan "Projek Sains Tahun Akhir", 'disemarakkan' dengan paparan papan putih elektronik yang memancarkan imej api marak menggemparkan seluruh kelas. Guru itu menegur murid-muridnya kerana terkejut dengan kelaziman sekolah, lantas menyuruh mereka mencari rakan dan memulakan projek serta-merta berdasarkan tema aerodinamik dan hidrodinamik. Memberikan masa satu minggu untuk siap, Puan Munah menghalakan rotan kepada Ali dan menjanjikan hukuman berat bagi yang gagal. Ali panik dan segera menjemput Viktor, tetapi melihat Mia cuba menyapu Viktor, Ali kembali hampa. Viktor meminta Mia berpasangan untuk projek Sejarah supaya dapat bergabung dengan Ali, maka Mia beredar dengan geram.

Selepas kelas, Viktor teruja dengan projek sains dan bercadang untuk pergi ke rumah Ali untuk membincangkan idea di samping bermain Story Mode dalam Detektif Jebat. Ali hendak bersetuju dengan Viktor tetapi teringat pula tentang "Kelab Setem" dan meminta untuk tangguh. Viktor pun jatuh hampa malah hairan mendapati Ali menghadiri kelab setem setiap hari, dibandingkan dengan kelab e-sukan Viktor yang hanya dihadiri dua kali seminggu. Ali membuat alasan "Cikgu Bidin" suka menayangkan koleksi setemnya, kemudian meminta diri.

Di Akademi M.A.T.A, Ejen-Ejen Leon, Bakar, Geetha dan Karya berjalan menuju ke bilik mesyuarat atas panggilan General berdasarkan hasil risikan terbaru tentang Rizwan. Leon menjelaskan bahawa Rizwan pernah dikesan di kawasan hutan utara Cyberaya bersama dengan konco-konco Uno. Karya bertanya sama ada mereka akan pergi memburunya; Geetha berkata mungkin tidak kerana perlunya mengawasi ejen-ejen muda dengan lebih ketat semenjak insiden Override Mode. Bakar berpesan bahawa Rizwan mampu mengalahkan satu pasukan seorang diri. Tanpa disedari, perbualan mereka berempat diintip...

...oleh Moon yang lantas menghebohkan hal itu kepada rakan-rakan akademi, malah M.A.T.A. bercadang untuk menghantar semua ejen untuk memburu Rizwan. Chris mengulas bahawa ini hal berat. Ali pula muram terdengar khabar itu dan terkenang tindakan Rizwan berpaling tadah dan menguatkan pihak Uno. Moon setuju dan turut mengecam tindakan Rizwan menyertai orang jahat. Rudy naik marah dan mengutuk Ali dan Moon kerana mengumpat Rizwan tanpa usul periksa kerana mereka tidak mengenali Djin sebenar.

Rudy bercerita tentang kisah masa kecilnya di Pinggiran, di mana dia menyara hidup dengan mencuri makanan dan dompet orang lain. Pada suatu hari dia dicekup dalam satu cubaan mencuri tetapi akhirnya bersusah-payah dan berjaya melepaskan diri. Dia berkongsi hasil curian dengan dua orang kawan sebaya di suatu tempat persembunyian. Malangnya, datangnya Komeng dan gengnya menuntut wilayah mereka dan memeras hasil curian Rudy dan kawan-kawan. Rudy enggan menyerahkan habuannya, maka Komeng memerintahkan konco-konconya membelasah budak itu. Rudy berani dan bersungguh-sungguh berkelahi dengan semua konco-konco itu sehingga dicampak ke atas longgokan sampah. Pada ketika inilah Djin yang pantas memecut muncul dan menjatuhkan Komeng dan gengnya satu demi satu, lalu mempelawa Rudy untuk menyertai M.A.T.A. untuk mengasah potensinya.

Rudy menutup cerita dengan ujaran bahawa Djin satu-satunya dalam kalangan M.A.T.A. yang sanggup menolongnya, malah Djin akan berbuat apa-apa sahaja untuk membela nasib Cyberaya. Ali lantas mempersoal tindakan Djin mengkhianati agensi yang melindungi Cyberaya, maka Rudy terus menolaknya dan berkeras bahawa Djin bukan pembelot. Ali kemudian menyoal mengapa Rudy tidak terus mengikut Djin yang dianggapnya baik. Kata-kata Ali menggemparkan rakan-rakan lain, malah Chris dan Jet datang menahan Rudy sementara Alicia menarik Ali pergi.

Di markas Numeros, Uno menanya Cinco tentang proses pengklonan I.R.I.S. Cinco gembira menjawab bahawa semuanya berjalan lancar dan Cuatro dijangka akan menyiapkannya tidak lama lagi. Rizwan tampil dan meminta untuk berbincang dengan Uno berduaan. Setelah Cinco mengundurkan diri, Rizwan bermula dengan mengadu sukar berkata-kata, maka Uno memintanya terus terang kerana mereka kini di pihak yang sama. Rizwan memperakui bahawa mereka berjuang bersama untuk Cyberaya, tetapi rancangan Numeros untuk menyerang M.A.T.A. akan menyebabkan ramai terkorban, membuat Uno menggenggamkan tangan. Rizwan malah mengharapkan agar dicari jalan yang lebih damai untuk menghindari tercetusnya pertempuran.

Uno bangun dari kerusi dan menyoal Rizwan akan cadangannya. Rizwan bercadang untuk membawa Uno menghadap Ketua-Ketua Teras M.A.T.A. Uno geram menelah bahawa Rizwan mahu membawanya berunding, maka Rizwan berkata sekadar mahu kedua-dua pihak berdamai, lebih-lebih lagi dengan adanya Zain. Uno lantas naik darah dan memarahi Rizwan kerana menyebut nama Zain, kemudian menghunus pedang dan membelah kotak-kotak di hadapannya, lantang merungut bahawa dirinya telah lebih banyak berkorban demi Cyberaya daripada ketua-ketua lain tetapi akhirnya dibalas dengan pengkhianatan oleh mereka. Lalu dia mengacukan pedang ke leher Rizwan dan memberikan amaran jangan lagi mengemukakan cadangan yang "mengarut" itu lagi. Rizwan terkelu lidah dan menahan nafas sementara Uno menyimpan pedang dan menyuruhnya bersiap untuk bertindak.

Di makmal Numeros, Profesor Akram mengelap peluh sambil memulakan proses pemasangan klon I.R.I.S, kemudian menyedut alat bantuan pernafasan sambil menunggu proses siap. Setelah proses selesai, Profesor bangun dari kerusi dan gerun memikirkan akibat daripada perbuatannya. Rizwan datang menjenguk Profesor dan keras mengingatkannya bahawa mereka tiada pilihan lain.

Di bilik kelas, Alicia menengking pada Ali kerana mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati Rudy. Ali tidak endah dan mengaku tidak takut berlawan dengan Rudy, maka Alicia mengingatkannya bahawa dirinya pun belum tentu dapat mengalahkan budak itu. Sebagai hukuman, Alicia mengurung Ali di bilik kelas bersama Comot. Ali melepaskan geram dengan melayang-layangkan yoyonya sehingga tiba-tiba terkena hologram Ejen Zain, lalu dia segera meminta maaf dan mengadu kepada Zain tentang sikap Rudy, lebih-lebih lagi mengenai berkenaan pengkhianatan Uno.

Zain menanya Ali sama ada dia merasakan Ejen Rizwan jahat, maka Ali berentah. Zain berpesan bahawa itulah perasaan yang sedang dialami oleh Rudy, yang mana dia tidak senang menerima bahawa orang yang disanjungnya selama ini telah menjadi musuh, malah dia mungkin keliru atau masih berharap bahawa ada sebab lain Djin bertindak demikian. Zain berpesan lagi bahawa semua ejen mesti bersatu dan berjuang secara berpasukan tanpa mengira perbezaan demi menzahirkan tujuan M.A.T.A. ditubuhkan iaitu melindungi Cyberaya, maka Ali harus mengelak dari mengulangi kesilapan Ketua-Ketua Teras dan menyatukan ejen-ejen muda.

Di markas Numeros, Uno dan Cinco digemparkan oleh perbuatan menghapuskan program I.R.I.S. dari sistem mereka. Cinco membawa Ocho segera pergi ke makmal untuk menghalang Cuatro. Profesor Akram menyuarakan tekadnya untuk mematahkan hasrat Numeros dan menghancurkan komputernya dengan kanister. Cinco mengugut untuk menimpakan akibat kepada keluarga Profesor, maka Profesor pun berhenti. Rizwan menghalang Cinco dari bertindak sambil meluahkan perasaannya apabila dikhianati dahulu dengan melontarkan batang lolipop menjatuhkan tabletnya.

Ocho bertindak melawan Rizwan dengan Microbug. Cinco terlihat Profesor Akram memijak-mijak tabletnya sampai hancur lalu mengarahkan Ocho menyerangnya. Ocho melemparkan kerumunan Microbug untuk mencengkam Profesor, kemudian Rizwan datang memecahkan Microbug dan menyelamatkan Profesor. Ocho sekali lagi menghalakan Microbug ke arah Rizwan, dan Rizwan melompat ke arah Ocho dan mengusik dengan menekan bahunya. Ocho mengawal Microbug untuk mengepung Rizwan, tetapi Rizwan memecut keluar dari kepungan lantas menepuk muka Ocho dengan kencang sehingga mata kanannya pecah.

Atas seruan Rizwan, Profesor Akram memasang bom jangka di atas panel makmal dan beredar. Cinco menyedari bom itu mengandungi Azurium dan bertanya apa yang Rizwan hendak lakukan. Rizwan menjawab dia sedang melakukan perkara sama yang dilakukan oleh Cinco terhadap M.A.T.A. sambil membawa Profesor keluar dan mengunci pintu makmal. Cinco mula cemas dan mengetuk-ngetuk pintu, tetapi dia sedar bahawa penanya yang dilengkapi alat perhubungan kecemasan masih baik dan terus memasangnya dan mengkhabarkan pembelotan Rizwan dan Cuatro dan bom jangka kepada Uno. Uno naik darah menghentak panel komputernya dan menugaskan Dos untuk menyelamatkan Cinco di samping mengarahkan Trez menyekat semua laluan keluar dan ahli-ahli lain mencari pembelot itu dan menangkapnya hidup-hidup.

Di tengah perjalanan melarikan diri dari markas, Rizwan berhenti dan meminta Profesor terus berlari dahulu kerana dia mahu berpatah balik untuk memasang lagi bom untuk menyelesaikan misi.

Di makmal, Cinco menggesa Ocho membentuk perisai Microbug untuk melindungi mereka dari letupan, namun Ocho tidak dapat bertindak kerana meraung kesakitan daripada pukulan Rizwan. Dos mengumpil buka pintu dan menggesa Cinco keluar, tetapi Cinco mendapat idea untuk mematikan bom dengan meminjam sanggul Dos dan menggunakannya sekali dengan pena tabletnya untuk membentuk litar pintas bagi menghentikan bom. Dos berlindung dengan Ocho dan mempersoal tindakan Cinco, namun Cinco berjaya mematikan bom satu saat sebelum letupan.

Profesor Akram semakin hampir dengan pintu gua untuk keluar dari markas, namun dia ternampak Seis dan Siete muncul dan segera bersembunyi dengan berpaut di bawah pelantar. Setelah kembar itu beredar, Profesor naik semula dan bergegas, tetapi dihalang oleh Trez dan berpatah balik, kemudian dicengkam oleh Nueve dengan kuasa telekinesis supaya dapat ditangkap oleh Trez. "Uno" datang meminta Trez menurunkannya supaya Uno dapat menggondol pembelot itu sendiri, kemudian mengarahkan Trez dan Nueve pergi memburu Rizwan.

Di pusat markas, Dos mendudukkan Ocho yang cedera, manakala Cinco meminta maaf kepada Uno atas kegagalan menghalang Rizwan dan Cuatro. Tiba-tiba Trez dan Nueve masuk ke mari, lalu mereka dimarahi oleh Uno kerana tidak menyekat laluan keluar, membuat mereka keliru. Rupa-rupanya Rizwan menyamar sebagai Uno dan berjaya mengeluarkan Profesor Akram dari markas Numeros, kemudian dia menekan butang untuk meletupkan bom-bom yang dipasang di serata markas, menyebabkan seluruh gua habis runtuh. Profesor memutuskan untuk tidak mengikut Rizwan kembali ke M.A.T.A. dan sekadar memintanya mengirim salam. Rizwan pun menghisap lolipop dan beredar dengan tenang.

Watak[]

Trivia[]

  • Sebelum penyamaran Rizwan sebagai Uno, Uno dilihat tidak memakai topeng. Ia tidak diketahui bila dan bagaimana Rizwan mendapatkan topeng Uno untuk penyamarannya.
  • Kisah ini memberi tumpuan kepada Rizwan menyusupkan pangkalan Numeros, dan sejarah Rudy.

Galeri[]

Video[]

Navigasi[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement