Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: MAIN ialah episod ketiga dalam musim kedua siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 6 Oktober 2017.

Sinopsis[]

General Rama telah menghantar ejen-ejen dari Akademi M.A.T.A. untuk misi pertama mereka - untuk menghentikan penjahat yang telah menggodam stesen keretapi Cyberaya!

Plot[]

Stesen Transit Cyberaya Taman Maya menyambut ketibaan tren terakhir untuk malam ini. Tanpa disedari sesiapa pun, sebuah dron kecil berkaki empat turun dari tren itu, menembusi bolong salur udara, memasuki bilik kawalan utama rangkaian transit dan menggodam sistem kawalan rangkaian. Kehadiran dron tidak disedari kerana pengawal yang bertugas sedang terlena.

Keesokan harinya, Dr. Ghazali mengetuk pintu bilik Ali untuk berpesan bahawa dia akan bekerja pada hujung minggu ini. Tidak kedengaran suara dari dalam membuat dia berasa hairan. Ali terjaga dengan senyap, masih terkenang akibat daripada kekalahannya dalam permainan tempoh hari, di mana dia ditegur oleh mentor-mentor atas prestasi buruk dia dan pasukannya, lebih-lebih lagi Ejen Leon yang memarahi mereka kerana bertindak terburu-buru tanpa strategi atau kerjasama. Ejen Karya berpesan lebih baik cari intel di tempat lain daripada menentang lawan di luar kemampuan. Ejen Geetha menegur kesalahan Ali meninggalkan pasukan untuk menghadapi pihak lawan yang lebih ramai. Rakan-rakan sepasukannya, Moon, Jet dan Iman turut kecewa dengan sikap Ali.

Dr. Ghazali lantang memanggil anaknya, membuat Ali terkejut dari kelamun dan menjawab sekarang. Dr. Ghazali memesan anaknya untuk turun bersarapan, bergegas turun mengejar masa dan memesan Comot yang kelaparan untuk mengawasi Ali. Baru sahaja hendak keluar, dia terserempak dengan Viktor yang datang membawa tablet. Dr. Ghazali dengan segan mengaku tidak bercakap dengan Comot tadi dan meminta Viktor naik ke atas untuk berjumpa dengan Ali.

Viktor mengetuk pintu bilik Ali, tetapi Ali menyangka bapanya datang lagi. Setelah Viktor bersuara dengan bernyanyi "Ali, Ali, Ali, buka pintu ini, hei!" Ali turun katil, jatuh tersandung atas barang dan membuka pintu. Viktor menunjukkan permainan Detektif Jebat terbaru dan menolong Ali memasangnya. Ali meminta maaf kerana biliknya bersepah; Viktor memaafkan kerana bukan biliknya. Viktor bertanya mengapa muram, jadi Ali menjawab tertekan dengan aktiviti kelab setem. Viktor menunjukkan permainan Ali sudah selesai dimuat turun tetapi Ali tetap sugul.

Dr. Ghazali tiba di Stesen Taman Maya, di mana dron dari semalam merayap keluar dari bilik kawalan setelah menyiapkan kerjanya. Kesan gangguan dron berlaku apabila seluruh stesen mengalami gangguan sistem menyeluruh: lampu berkelip-kelip, pintu tren tersekat, eskalator dan mesin tiket hilang kawalan, dan sebagainya. Pengawal-pengawal di bilik kawalan berusaha membendung kejadian yang "tidak pernah terjadi" ini tetapi gagal. Pengumuman siar raya berkumandang di stesen memohon kesabaran penumpang tetapi terhenti setengah jalan kerana bekalan elektrik terputus. Dr. Ghazali gerun menyaksikan fenomena ini.

Ali dan Viktor khusyuk dengan permainan video baharu mereka. Viktor bersorak meraikan pencapaian "Super Mega Combo Ultra Platinum High Score" sementara Ali menggeram kerana kalah lagi dan mencampak tabletnya. "Main je mah," pesan Viktor pada Ali bahawa kalah sekarang tidak bermaksud kalah sampai bila-bila, malah kekalahan itu berfaedah kerana ia memberi peluang untuk mengenali kelemahan sendiri dan memperbaikinya. Tiba-tiba telefon Ali berbunyi menyambut panggilan dari Alicia. Viktor menyampuk dan memerli Ali kerana sudah berpacaran dengan Alicia; Ali segera menyangkal dan berkata ini urusan kelab setem. Ali menjawab telefon dan disuruh oleh Alicia untuk berjumpa di Akademi kerana ada misi.

Ali bergegas di Akademi dan menghendap tiba di bilik kelas. Tiba-tiba, dia dikejutkan sehingga tersembam oleh kehadiran hologram General Rama yang memarahinya kerana tidak mengikis tabiat datang lambat semenjak menyertai Akademi. Ali tergamam melihat semula wajah General yang bengis itu. Dia bangun semula dan mengambil tempat di antara Alicia dan Khai dalam bulatan pelajar-pelajar yang mengelilingi pancaran hologram utama di mana imej General juga tersiar. General bersambung taklimat bahawa para pelajar akan diberi tugasan dalam bentuk misi yang akan dijalankan secara berpasukan dan diketuai oleh seorang mentor. Dia juga berpesan kepada Ali bahawa dia akan dikembalikan ke dalam pasukan lamanya bersama Ejen Bakar dan Alicia ekoran prestasi buruknya dalam latihan lepas.

Alicia bertanya apa misinya kali ini; untuk menjawab soalan itu, General menugaskan Ejen Leon dengan misi menyiasat kebocoran reaktor Beta Core dengan peringatan berjaga-jaga kerana terdapat beberapa kejadian letupan kecil. Leon memanggil Bulat, Moon dan Chris untuk menyertainya. General menugaskan Ejen Karya untuk melindungi pasukan Leon dengan membentuk barisan pertahanan mencegah ancaman pihak luar. Karya menyeru Khai, Iman dan Jet ke dalam pasukannya. Atas seruan General "Bertindak segera!" pasukan-pasukan Leon dan Karya terus bergerak pergi.

General menugaskan Ejen Bakar dengan misi menyiasat gangguan virus di Stesen Transit Taman Maya dengan pesanan untuk melapor kepada M.A.T.A. jika perlu. Bakar menerima tugasan dan bertanya sama ada perlu memakai pelitup muka; General geram memperjelas bahawa virus yang dimaksudkan adalah virus komputer. Dengan itu, Bakar segan-segan mengaku sekadar hendak menguji pengetahuan Ali dan memanggil Zass menyertai pasukannya. Ali tertanya-tanya mengapa Zass, jadi Alicia bertanya balik sama ada dia mahu bersama Rudy. Ali merenung ke arah Rudy, dan Rudy menjeling balik dengan menaruh wajah geram. Sebelum Ali bergerak, General Rama memberinya amaran untuk tidak bermain-main dalam misi pertamanya selaku pelajar Akademi.

Pasukan Bakar yang dianggotai Ali, Alicia dan Zass serta Comot menghendap di lorong belakang Stesen Taman Maya, di mana pasukan polis datang untuk menyiasat tetapi dihalang dari masuk oleh shutter yang turun tiba-tiba. Ali bercadang untuk menolong polis tetapi dihalang oleh Bakar yang mengingatkan bahawa M.A.T.A. beroperasi secara rahsia dan oleh itu tidak diketahui kewujudannya oleh polis. Dengan itu, Ali bercadang untuk menggunakan I.R.I.S. untuk mencari jalan masuk, tetapi Alicia menegah kerana Zass sudah melakukan demikian. Zass berada di hujung lorong, mengisyaratkan jalan kepada rakan-rakan sepasukan.

Pasukan Bakar menyusup masuk ke dalam stesen dengan senyap dan turun tangga ke lobi untuk memulakan usaha mencari dan menghapuskan virus. Tiba-tiba, berkumandangnya suara elektronik mengalu-alukan kedatangan mereka untuk bermain. Dalam skrin-skrin sekitar stesen terpapar suatu simbol bercoret wajah manusia ganas. Ali mengecamkannya sebagai Neonimus, pihak luar yang pernah menggodam sistem pertahanan pangkalan M.A.T.A. Neonimus meluahkan rasa seronok melihat ejen-ejen kelam-kabut dan mencabar mereka memadamkan virus sebelum dia menggugat stesen dengan lebih dahsyat.

Alicia bercadang bahawa mereka harus ke bilik kawalan utama untuk memantau seluruh sistem, maka ke situlah mereka bergegas. Di bilik kawalan, Alicia memasang peranti M.A.T.A. Defender pada panel dan melaksanakan kawalan manual. Ali, Bakar dan Zass memerhatikan tindakan Alicia sementara Comot mengawal belakang. Sistem berjaya dihidupkan semula, tetapi tidak berkekalan apabila Neonimus memutuskan semula bekalan semata-mata untuk menyukarkan permainan. Alicia menyimpulkan bahawa Neonimus sedang menyerang sistem melalui mesin-mesin lain yang berhubung dengan rangkaian. Bakar bertanya bagaimana boleh begitu, maka Alicia menduga sama ada orangnya berada di dalam stesen atau dia menggunakan sesuatu untuk menceroboh masuk.

Ali menyedari Comot menghilangkan diri, jadi dia menggunakan I.R.I.S. untuk mengimbas seluruh stesen untuk mencarinya. Dia terkejut mendapati Comot sedang mengejar "robot pelik" di lobi stesen. Alicia mengenal pasti robot itu sebagai dron yang digunakan oleh Neonimus untuk menggodam stesen dan bercadang untuk pergi menangkap robot itu supaya dapat menjejaki punca isyaratnya, maka seluruh pasukan pun keluar.

Comot mengejar dron hingga ke mesin tiket dan tergapai-gapai dibuatnya. Sebaik sahaja pasukan Bakar datang, Zass terus memecut ke mesin tiket dan cuba mencekup dron, tetapi dron terlepas dengan melompat. Dron merayap ke pagar tambang, dan Zass pun mengejar tetapi masih sukar mencekupnya. Dron berlari balik ke ruang menunggu, maka Bakar menolong Zass mengepungnya. Dron lari berkeliaran sehingga Bakar dan Zass keliru sampai berlanggaran dan jatuh. Dron memasuki tren, jadi Ali dan Comot mengejarnya ke situ. Gerak-geri dron di dalam tren membuat Ali tergapai-gapai dan berlari atas tempat duduk sehingga jatuh tersandung. Dron keluar semula dan pintu tren ditutup, membuat Ali terperangkap di dalam.

Bakar dan Zass bangun semula dan membantu Comot mengejar dron. Comot menjadi halimunan dan memintas dron daripada memasuki bolong, lalu mencakarnya. Dron terlanting ke belakang; Bakar melonjak cuba menyambutnya tetapi dron terbolos dari dakapannya, maka Bakar pun jatuh tersembam. Bakar bangun semula dan gembira melaporkan bahawa sasaran telah tumpas kerana dron lenyek akibat dihempap olehnya.

Alicia berjaya memulihkan sistem buat kali kedua. Neonimus memuji Alicia kerana lebih pantas daripada yang dijangka dan mula menghadapkan "cabaran sebenar" kepadanya. Ali cuba mengumpil buka pintu tren, tetapi tiba-tiba tren bergerak. Disoal oleh Alicia, Neonimus menerangkan bahawa dia telah meminda landasan supaya tren yang dinaiki Ali akan berlanggar dengan tren yang berjalan dari arah bertentangan. Alicia, Bakar dan Zass naik cemas, malah Alicia berhempas-pulas memintas sistem tetapi tidak terdaya.

Ali menghubungi Bakar dari dalam tren. Neonimus mengesahkan bahawa Ali diperangkap di dalam tren kerana dia budak istimewa yang perlu dicabar lebih, dengan memberikan masa empat minit. Alicia menghubungi Ali dan mengarahkannya untuk memandu tren secara manual untuk mengalihkannya ke landasan lain. Ali menerima dan bergerak ke arah hadapan tren. Neonimus merumitkan lagi keadaan dengan menghantar satu gerabak kargo untuk melanggar tren Ali dari belakang; pelanggaran itu menyebabkan Ali jatuh.

Ali bangun semula dan digemparkan oleh kehadiran sebuah jentera mecha yang memecah masuk tren, dibawa masuk oleh Neonimus untuk menandakan peringkat "bos" permainannya. Ali naik cemas dan terus berlari menuju hadapan tren. Mecha itu turut memecut dan melanggar Ali, lalu ia mengancam Ali dengan memijak-mijak dan tembakan laser, namun semuanya ditepis. Ali memasang fungsi X-ray I.R.I.S. dan mendapati ruang pemandu semakin dekat. Dia menggunakan Aero Boots untuk memintas mecha, namun mecha itu mencampaknya balik. Neonimus berkata tidak senang memperoleh mecha ini. Mecha menembakkan laser ke arah Ali, dan Ali melompat ke kiri ke kanan atas tempat duduk untuk mengelak dan menyerang lagi.

Alicia berjaya memintas isyarat dron dan menunjukkan lokasi puncanya kepada Bakar dan Zass. Bakar meminta Zass mengejar tren dan membantu Ali. Zass menerima dan segera memecut ke situ sementara Bakar mengajak Alicia dan Comot pergi ke lokasi punca isyarat. Comot sempat mengusik-usik bangkai dron sehingga disuruh ikut oleh Alicia.

Setelah berkali-kali dicampak dan menepis tembakan, Ali bersembunyi di bawah peranggu tempat duduk yang tersusun secara melintang. Mecha menghumban semua tempat duduk tetapi tidak dapat mengesan Ali, lalu ia menyedari bahawa Ali sudah berlari ke gerabak hadapan, maka ia pun mengejar ke situ. Sebaik sahaja melintas gerabak, ia digemparkan oleh terajang Ali, namun ia langsung tidak berkesan dan mecha pun menghumban Ali. Neonimus bersuara mengejek gelagat Ali membosankan sementara dia mengawal mecha untuk mengangkat Ali secara terjungkir.

Mujur Zass datang dan menurunkan Ali dari cengkaman mecha. Mecha pun menembak-nembak ke arah Zass, tetapi semuanya terelak dengan pecutan yang lincah. Pada masa yang sama, alat penembak di lengan kanan mecha terhenti; Ali mengimbasnya dengan I.R.I.S. dan mendapati ia terlebih panas. Zass mencabut selusur pegangan tren lalu memecut-mecut di keliling mecha sambil memukul-mukulnya secara bertubi-tubi untuk mengelirukannya. Mecha mengangkat lengan kiri untuk menghentikan pecutan Zass, membuat dia terpelanting ke belakang. Ali merasakan dia mendapat idea dan meminta Zass mengalihkan perhatian mecha.

Mecha Neonimus berpusing dan kembali menembak-nembak ke arah Zass. Ali menyerang mecha dari belakang dengan ledakan elektromagnet yoyonya. Mecha berpusing lagi dan menembak ke arah Ali, dan Zass pun kembali berpusing di keliling untuk mengaburinya. Sekali lagi alat penembak laser kehabisan tenaga, membuat Neonimus geram. Ali menyerang lagi dengan ledakan yoyo di bawah mecha, dan pada masa yang sama, Zass menerajang mecha di bahagian muka sampai jatuh. Ali menyerang lagi dengan hentakan yoyo bertubi-tubi.

Neonimus menaikkan semula mechanya dan mengutuk Ali dan Zass bermain kasar. Zass sekali lagi mengumpan mecha untuk kejar, lantas Ali mencekup lengan kanan mecha dengan lilitan tali yoyo. Mecha segera berpaling dan cuba menembak tetapi masih kekurangan tenaga. Neonimus hilang sabar dan bertindak memutuskan alat penembak. Ali menarik balik yoyo sambil memerli Neonimus dengan "Main je mah." Neonimus meraung dalam kemarahan dan memasang sistem letupan diri pada mechanya. Zass menarik suis kecemasan untuk membuka pintu tren, dan Ali menggunakan putaran tali yoyo untuk menolak mecha keluar. Mecha akhirnya meletup di atas landasan.

Neo mengumumkan pengunduran diri dari permainan dan tren pun terhenti. Ali dan Zass bergegas ke ruang pemandu untuk cuba menghidupkan semula tren, malah Ali menghubungi Bakar untuk meminta tolong. Bakar cuba mendengarkan pesanan Ali tetapi tidak jelas. Munculnya tren dari arah bertentangan menyuluh ke arah Ali dan Zass. Zass hendak membawa Ali pergi tetapi Ali menghalang kerana terasa ada sesuatu yang tidak kena. Rupa-rupanya tren yang satu lagi hanya berlalu di sebelah. Zass pengsan kerana cemas, sementara Ali tertanya-tanya mengapa Neonimus berkata akan berlanggar. Sementara itu, Bakar, Alicia dan Comot tiba di hadapan premis sebuah kafe Internet dari mana datangnya signal kawalan Neonimus, namun mereka tidak sempat bersemuka dengan Neonimus kerana orangnya sudah melarikan diri.

Pada malam hari, Ali bermain Detektif Jebat sehingga lewat di dalam biliknya yang gelap. Dia akhirnya menang dan mencapai "Super Mega Combo Ultra Platinum High Score" seperti Viktor, malah Viktor yang terhubung melalui panggilan video turut mengucapkan tahniah. Tiba-tiba Dr. Ghazali memanggil, jadi Ali segera meletakkan tabletnya ke tepi dan berbaring. Dr. Ghazali masuk dan melihat tablet Ali menghadap dengan paparan permainan. Dia kesal melihat anaknya bermain sampai terlena dan menyarungkan selimut ke atas Ali sebelum keluar. Setelah Dr. Ghazali keluar, simbol Neonimus muncul dalam tablet Ali.

Watak[]

Trivia[]

  • Sehari sebelum tarikh perdana episod ini, profil dan imej di laman Facebook rasmi Ejen Ali telah ditukar kepada simbol Neonimus, seakan-akan laman itu telah "digodam".
  • Terdapat satu kiriman yang ditaip dengan huruf dan nombor: "pr355 574r7! 5.30pm d1 7v3 m4l4y514 #3j3n4l1 #4n1m4710nmy".
    • "pr355 574r7!" adalah "press start!" yang bermaksud "tekan permulaan" dalam Bahasa Inggeris.
  • Episod ini diberi tajuk "MISI: MAIN" kerana Neonimus bermain dengan watak-watak utama seolah-olah mereka berada dalam permainan.
  • Ini adalah episod ketiga yang berlaku di luar masa persekolahan (MISI: COMOT, MISI: UNO).
  • Ini adalah episod ketiga yang Viktor tidak sengaja memberikan nasihat kepada Ali yang akan digunakan kemudian (MISI: I.R.I.S., MISI: PROTOKOL GEGAS).
    • Ini adalah episod kedua yang Viktor mengusik Ali sedang rapat dengan Alicia, yang pertama ialah MISI: BUKTI.
  • Ali dan Alicia mengenali Neonimus sebagai penjenayah siber yang pernah menggodam sistem pertahanan M.A.T.A., yang mana mengesahkan bahawa aplikasi permainan Ejen Ali: Emergency adalah kanonikal dan diambil semasa Musim 1 (Jenny masih bekerja dalam M.A.T.A. dalam permainan tersebut).
  • Kisah ini mirip dengan MISI: SERI.
    • Penjahat menggunakan drone untuk melakukan kejahatan.
      • Dalam MISI: SERI, Komeng dan gengnya mencuri dron terbang yang kemudiannya digunakan untuk merompak sebuah bank. Dalam episod ini, Neonimus menggunakan drone untuk menggodam sistem komputer of Stesen CRT Cyberaya untuk menyebabkan keganasan.
    • Kedua-dua gajet yang digunakan oleh penjahat boleh menembak laser (Drone terbang yang digunakan oleh Komeng dan gengnya; robot yang dikerahkan oleh Neonimus).
    • Tangan adalah sasaran untuk mematikan gajet penjahat itu.
      • Drone terbang bergantung pada sarung tangan yang memancarkan isyarat Wi-Fi untuk mengawalnya, jadi dengan mengambil sarung tangan akan mematikan dron. Manakala untuk robot Neonimus, senjata laser Gatling (itu adalah tangan kanan robot) boleh menjadi terlalu panas kerana penggunaan berterusan, menjadikannya terdedah dan tidak stabil.
    • Dalam kedua-dua episod ini, Ali bekerja bersama dengan ejen yang dia tidak dikenali.
      • Daripada Alicia, ia adalah Zass dalam episod ini.
    • Penjahat itu tidak pernah ditangkap dalam kedua-dua episod ini.

Kiasan[]

  • Kereta api di Cyberaya adalah CRT, yang mana merupakan kata mainan kepada LRT.

Galeri[]


Video[]

Navigasi[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement