Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: OVERRIDE ialah episod ke-13 dan terakhir dalam musim pertama siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 3 Mac 2017.

Sinopsis[]

Uno dan pasukannya berjaya menculik Ali dan mereka cuba memisahkan I.R.I.S. daripada dia! Ali telah bertekad untuk tidak membiarkannya jatuh ke tangan yang salah, manakala ejen M.A.T.A. yang lain cuba melindungi Ali. Adakah mereka akan berjaya?

Plot[]

Bahagian 1[]

Rizwan tercungap-cungap dalam kepenatan sambil mengelak-elak tumbukan Djin/Uno. Dia mencekup lengan Uno tetapi Uno menepuk pinggul Rizwan lalu menumbuk perutnya Rizwan berkali-kali. Rizwan meranggung dan mula terbatuk, kemudian bangun untuk cuba mencuit Uno. Uno mencekup tangan Rizwan, menyoal sama ada Rizwan tiada lagi teknik lain selain yang diperlihatkan - semuanya diajarkan oleh Uno sendiri - dan menepuk perut Rizwan dengan kencang. Rizwan semakin tidak larat untuk bertarung; Uno mengangkatnya di kolar dan menepuk lagi di dada, kemudian mengenakan gelombang hitam membuatkan Rizwan terpelanting.

Uno menghampiri Rizwan yang berada dalam keadaan terbujur tetapi masih sedarkan diri, mengulas bahawa bekas anak didiknya sendiri itu berpotensi dan memberinya pilihan sama ada untuk dihapuskan atau berkhidmat untuk Uno. Rizwan bangun dan menjerit tidak akan belot pada M.A.T.A. Mengunyah lolipopnya sampai hancur, Rizwan melontarkan batangnya ke arah Uno. Uno menangkis dengan menghunus Pedang Azurium, memecut ke arah Rizwan dan melibas pedangnya.

Di bunker, Ali dalam keadaan tidak bermaya diikatkan di atas kerusi oleh konco-konco Uno. Dr. Aaron mengingatkan rakan-rakannya bahawa Ali tidak boleh pengsan semasa pemisahan I.R.I.S. Ali menyoal Jenny mengapa dia membelot; Jenny tertawa menjelaskan bahawa dia tidak pernah berpihak kepada M.A.T.A, sebaliknya dihantar oleh Uno untuk mengintip sebagai musuh dalam selimut, malah mengulas bahawa Ali tidak layak menjadi ejen kerana terlalu mudah mempercayai orang, apatah lagi setelah rakan-rakan sejawat dan orang atasannya pun terpedaya selama ini. Dos menggesa Dr. Aaron untuk bermula segera, tetapi Dr. Aaron mahu menunggu sehingga Uno tiba untuk menyaksikan proses pemisahan I.R.I.S. sendiri. Trez menumbuk Dr. Aaron dan menyerahkan alat Separator kepada Jenny untuk dipakaikan kepada Ali.

Comot muncul di dalam bunker, menderam ke arah konco-konco Uno. Dipesan oleh Dos untuk berjaga-jaga kerana Comot tidak bertukar halimunan seperti biasa, Trez pergi mengejar kucing itu hingga ke syaf lif bunker; di situlah dia dihempap oleh Ejen Bakar yang baru dibebaskan dari kurungan. Melihat Ali terikat pada kerusi dalam keadaan tidak bermaya, Bakar membentak kepada Dos bahawa dia tidak akan memberi muka seperti sebelum ini. Dos mula menyerang Bakar dengan Bilah Plasma, tetapi dielak malah dicekup dan diperas oleh Bakar sehingga pecah sebelah bilah.

Trez bangun dan menolong Dos mengepung Bakar. Trez menghentam lantai tetapi Bakar melonjak; kemudian dia cuba menumbuk-numbuk Bakar tetapi ditepis dengan Perisai Plasma. Dos cuba menyerang Bakar lagi dengan Bilah Plasma yang tinggal tetapi Bakar sempat mencekup tangannya dan menghumbannya; dia membuat balik kuang untuk mengelak dari terhempas. Comot menyerang Dos, jadi dia cuba merodok-rodok dengan Bilah Plasma. Bakar menumbuk Trez bertubi-tubi tetapi terlenting dari Trez yang membusungkan dada. Trez cuba menyerang Bakar dengan tumbukan tetapi ditangkis dengan berpanca.

Sambil berpanca, Bakar menyuruh Jenny untuk mengaktifkan Busterdroid untuk menolong. Dengan tabletnya, Jenny mengawal Busterdroid untuk melancarkan penumbuk ke arahnya dua kali. Mula-mula tergamam, Bakar menyangka Jenny tersilap tembak kerana tidak memakai cermin mata. Tetapi setelah terkena tumbukan tiga kali, Bakar diberitahu oleh Ali bahawa Jenny pengintip musuh dan akhirnya tergempar. Bakar bergurau senda sejenak dengan mengaitkan Jenny dengan "abang sado yang hodoh"; kata-kata itu membuat Trez sakit hati. Jenny meminta Trez untuk menyerahkan Bakar kepadanya dan mengawal Busterdroid untuk melawan Bakar.

Setelah puas mengelak Bilah Plasma dan Shox Stix, Comot menaiki lengan Dos dan menggigit bilahnya sehingga rosak. Dos mencampakkan Comot ke arah Trez yang menghumbannya lagi jauh-jauh hingga ke dinding. Sudah hancur luluh menyaksikan penderaan ke atas Comot, Ali yang masih terikat di kerusinya memandang ke arah Bakar yang tidak terdaya menampan tumbukan demi tumbukan yang dilancarkan oleh Busterdroid. Situasi cemas ini membuat Ali berteriak "Jangan!"

Bahagian 2[]

Uno berdiri di hadapan Rizwan yang terbujur dengan luka calar yang ketara di dada setelah termakan Pedang Azurium. Kemudian, dia menyimpan pedangnya dan memasuki bilik kawalan yang sudah tidak dijaga lalu menerjun turun ke bunker untuk bersemuka dengan Ali. Disambut oleh Dos, Uno menyoal mengapa I.R.I.S. belum dipisahkan; Dos menyalahkan Dr. Aaron kerana melengahkan masa dan memberitahu bahawa "Cinco" (Jenny) akan mengendalikan proses pemisahan. Uno mentertawakan Ali kerana sudah tidak mampu merosakkan rancangannya lagi sambil cuba mencapai butang kuasa Separator. Ali cuba menjauhkan kepalanya dari jari Uno tetapi dicekup di dagu oleh Uno.

Bakar yang tersungkur mencekup kaki Uno dalam ikhtiar terakhir untuk menghalangnya daripada melakukan pemisahan. Uno berpusing dan menerajang Bakar di mukanya, mengerikan Ali sehingga berganjak dari kerusi yang masih mengikatnya. Uno menyuruh Jenny bermula segera, maka Jenny menyiapkan tetapan pada tablet dan menekan butang kuasa pada Separator. Bakar memanjat bahu Uno dan menumbuk mukanya, membuat konco-konco Uno terkejut. Uno membalas dengan menepuk perut Bakar dengan kencang sehingga rebah lalu menyepak-nyepaknya, menyeramkan lagi Ali. Uno mengutuk Bakar "ejen paling sampah" dan melakukan hentaman aura hitam yang sangat kuat ke atas dada Bakar sehingga menghasilkan ledakan.

Perasaan seram Ali menyaksikan bapa saudaranya teruk diseksa oleh Uno menyebabkan I.R.I.S. mencetuskan kuasa seakan Override Mode tetapi lebih hebat, membuat Ali dari menjerit-jerit menjadi diam seribu bahasa, cermin matanya sentiasa mengeluarkan cahaya putih yang menyelubungi matanya, dan tangan kakinya terlepas dari ikatan. Uno dan konco-konconya sekadar tercegat memandang sementara Ali menanggalkan Separator, memecut ke arah Uno dengan Aero Boots dan memukulnya bertubi-tubi dengan lontaran yoyonya. Uno menepis setiap pukulan sehingga dilanggar dan tercampak. Ali menanjul kaki Uno dengan yoyo dan menghempaskannya di dinding. Uno bangun semula hanya untuk disepak di muka dan diasak-asak ke tepi bunker.

Dos dan Trez menyerang Ali. I.R.I.S. meramal gerak-geri mereka dengan tepat: Dos meluru dan membaling Shox Stix, maka Ali melonjak; Trez cuba menumbuknya dari belakang, maka Ali mengawal sebuah Busterdroid untuk mengekang dan bertumbuk-tumbukan dengan Trez. Dos cuba menyerang Ali dari belakang tetapi Ali berpaling dan memutarkan perisai yoyo untuk menangkis tumbukan dan tendangannya. Ali mengawal satu lagi Busterdroid untuk menguruskan Dos tetapi Dos melonjak untuk melepaskan diri. Dipapah oleh Jenny, Uno bertanya mengapa Ali boleh tiba-tiba berubah jadi begitu kuat. Jenny membaca tabletnya dan mendapati bahawa bacaan impulsnya adalah yang paling tinggi pernah diperhatikannya, malah dia menganggap kekasaran ke atas Bakar sebagai pencetusnya.

Dos menjatuhkan Busterdroid yang mengejarnya dengan memacakkan Shox Stix. Dia membaling Shox Stix itu ke arah Ali tetapi ditampan dengan perisai yoyo. Ali membangunkan semula Busterdroid tadi untuk melancarkan penumbuk ke arah Dos; Dos melonjak untuk mengelak tetapi terkena pukulan yoyo Ali, terlenting ke atas dan akhirnya termakan penumbuk Busterdroid dan tumbang. Uno merungut kerana tidak diberitahu Override Mode sehebat yang disaksikannya. Meneliti tabletnya, Jenny berkata bahawa ini bukan Override Mode kerana Override Mode hanya mengawal litar berdekatan. Ditanya oleh Uno apa maksudnya, Jenny menjelaskan bahawa I.R.I.S. telah mengawal Ali.

Trez menghentam lantai untuk membuat gelombang ke arah Ali, tetapi Busterdroid turun untuk menepis. Ali melonjak dengan Aero Boots dan menggunakan yoyo untuk memukul Trez dengan bertalu-talu. Dua Busterdroid datang untuk mencekup Trez di kedua-dua belah tangan. Uno menyuruh Jenny memadamkan semua Busterdroid; Jenny mencuba tetapi tidak mampu memintas penguasaan I.R.I.S. terhadap robot-robot itu. Trez yang tidak bermaya setelah teruk dibelasah oleh Busterdroid, merangkak dan meminta tolong pada Uno. Uno mencemuh Trez sebagai lemah, menyuruh Jenny untuk mencuba sampai dapat dan melangkah ke arah Ali.

Bahagian 3[]

Uno menduga bahawa fenomena I.R.I.S. mengawal Ali adalah apa yang dikhuatiri oleh pihak M.A.T.A. Pertarungan bersambung apabila Uno terkena penumbuk melayang Busterdroid. Ali mengawal semua Busterdroid untuk cuba menawan Uno tetapi Uno mengelak. Ali melonjak ke udara dengan Aero Boots dan mendarat di mezanin bunker diiringi dua Busterdroid; Uno cuba menyerang dengan tepukan tetapi ditepis oleh satu Busterdroid; Busterdroid yang satu lagi melancarkan penumbuk ke arah Uno tetapi Uno mengelak dengan tunduk. Uno cuba berundur tetapi ditanjul di kaki oleh yoyo dan termakan penumbuk melayang yang tersasar tadi dan jatuh; Uno tidak terhempas dan mendarat dengan kemas.

Ali turun ke lantai bersama Busterdroid pengiring untuk bersambung lawan. Uno memusnahkan tiga Busterdroid dengan pedangnya sambil membentak bahawa I.R.I.S. sudah tidak mampu menyelamatkan Ali. Dia meluru, melonjak dan melibas pedang ke arah Busterdroid terakhir tetapi pedangnya dicekup lalu dihancurkan. Ali melonjak dari belakang Uno, melontarkan yoyo dan memecahkan lengan prostetik kiri Uno. Ali melontarkan yoyo lagi, Uno cuba mengelak dengan melonjak tetapi dipukul juga. Ali menaik dengan Aero Boots dan memukul Uno bertubi-tubi dengan yoyo dan akhirnya menerajangnya ke bawah sehingga terhempas. Ali turun dalam keadaan makin letih, mengawal Busterdroid yang tinggal untuk menumbuk Uno.

Ali yang masih dikawal I.R.I.S. menghampiri Uno yang terbujur, didapati dalam keadaan kritikal. Sebelum Ali sempat berbuat apa-apa pada Uno, Cinco menguasai semula satu Busterdroid dan melancarkan tangannya untuk mencekau Ali dan menyematnya pada dinding. Cinco mengambil kesempatan ini untuk memakaikan Separator pada Ali dan menjayakan proses pemisahan I.R.I.S. Sebaik sahaja I.R.I.S. tertanggal, Uno bangun. Pada masa yang sama, siaran General Rama berkumandang menyeru semua ejen di Sektor 56 untuk "bertindak segera" untuk menyelamatkan keadaan di bunker. Atas gesaan Uno, Cinco cuba menyampaikan I.R.I.S. kepada ketuanya tetapi disampuk oleh peluru Balistik sehingga tercicir peranti itu.

Comot menggondol I.R.I.S. dari lantai dan menyerahkannya kepada Alicia yang baru tiba, terkilan menyedari Jenny bersubahat dengan musuh dan membidik ke arahnya. General Rama bersiaran lagi meminta penghuni bunker untuk sabar menunggu bantuan. Cinco menggunakan tablet untuk menghidupkan fungsi auto musnah bunker dalam masa setengah minit. Terpaksa memilih sama ada untuk bergegas keluar atau menyelamatkan rakan-rakan dalam masa yang singkat, Alicia memilih untuk menyelamatkan Ali dan Bakar sementara Cinco melarikan diri bersama Uno dengan menaiki lif. Akhirnya, bunker diletupkan dan runtuh; Alicia keluar dari runtuhan dan menarik nafas lega mendapati Ali, Bakar dan Comot tidak tertimbus.

Keesokan harinya, Ali kembali sedar di bilik tidur rumahnya, disambut dengan meriah setelah lama menunggu oleh Bakar yang serba berbalutan dan Comot. Ayah Ali berada di luar bertanya khabar, dan Bakar dan Comot cepat menyorok di sebalik katil Ali. Ali menjawab Comot sekadar mengganggu, maka ayahnya pun meminta diri untuk pergi kerja; Bakar dan Comot pun keluar dari menyorok. Ali meminta maaf kepada Bakar, dan Bakar pun memeluk anak saudaranya dengan rasa bersyukur kerana masih selamat. Ali bertanya tentang Ejen Rizwan; Bakar menjawab bahawa dia sedang dirawat di tempat M.A.T.A, malah berpesan bahawa General ingin berjumpa dengan Ali. Ali mengaku tidak mengingati apa yang terjadi, maka Bakar pun menceritakan semuanya.

Ali datang ke sekolah awal-awal dengan penuh yakin, disambut dengan hairan oleh Sasi, pujian oleh Viktor dan cebikan cemburu oleh Alicia. Malah, dia dapat mengikuti kelas matematik Puan Munah dengan lancar, bahkan menjawab satu soalan atas papan putih dengan betul. Menerima panggilan dari M.A.T.A, Ali dan Alicia segera menyelinap ke perpustakaan. Sebelum memasuki pintu rahsia, Alicia berkata mereka sudah seri kerana Ali pernah menyelamatkannya dan kini dirinya pula menyelamatkan Ali, namun hubungan antara mereka masih dingin apabila Alicia menyorongkan buku rahsia kepada Ali dan menumpang lalu dengan menyiku Ali.

Di markas yang mengalami kemusnahan besar dan sedang giat dibaiki oleh angkatan Droid, General Rama (yang muncul dalam skrin kecil di atas meja bulat) mengucapkan terima kasih kepada Ali kerana menyelamatkan agensi M.A.T.A. daripada ancaman besar, malah merelakan Ali untuk kembali kehidupan normal asalkan tidak membocorkan rahsia M.A.T.A. Setelah tamat ucapan, Ali hendak beredar dengan muram, tetapi setelah diingatkan oleh Bakar, General dengan berat hati menawarkan tempat sebagai kadet di Akademi M.A.T.A. kepada Ali. Dengan teruja, Ali menerima tawaran itu. Sambil menepuk muka dengan rasa gerun, General berkata pihak M.A.T.A. akan menghubunginya kelak.

General meminta Alicia untuk menyerahkan I.R.I.S. kepada Bakar untuk dihantar ke ibu pejabat. Ali meminta kebenaran untuk memegang I.R.I.S. buat kali terakhir; itu pun ditunaikan oleh General dengan berat hati. Ali menatang peranti berbentuk cakera itu dan tersenyum sebelum digesa oleh General untuk memulangkannya. Baru hendak menyerahkan I.R.I.S. kepada Bakar, Ali terpijak ekor Comot dan terkejut, menyebabkan I.R.I.S. terpelanting. Ali menyambut peranti itu dan tidak sengaja mengaktifkannya semula, mengundang bentakan kegeraman "Dey!" dari General.

Watak[]

Trivia[]

  • Selepas peristiwa dari MISI: UNO, Facebook Ejen Ali masuk ke mod isyarat dan garis masanya menunjukkan gambar yang meminta sandaran, 3 Mac.
    • 3 Mac adalah tarikh perdana untuk episod akhir musim 1.
    • Ia telah mendedahkan bahawa projek I.R.I.S. telah ditutup kerana mempunyai minda sendiri untuk mengawal seluruh diri Ali dan mengendalikan M.A.T.A..
  • WAU Animation juga telah membuka akaun YouTube yang baru untuk memuat naik semua episod Ejen Ali.
  • Terdapat puncak menyelinap yang ditunjukkan di gerai di Kidzania, eCurve, Malaysia, pada 25 dan 26 Februari 2017.
  • MISI: OVERRIDE merupakan episod pertama yang mempunyai promo dan treler.
  • Soundtrack yang dimainkan dalam trailer episod ini bertajuk "Final Courage".
  • Selepas siaran perdana episod ini, Facebook Ejen Ali telah mengepos gambar General Rama yang berkata "Seorang ejen yang baik sentiasa menjaga Internet... spoiler percuma."

Galeri[]

Video[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement