Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: POTENSI ialah episod kesembilan dalam musim pertama siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 11 November 2016.

Sinopsis[]

Sejak episod sebelumnya, Rizwan kini menjadi mentor kepada Ali dan dia mesti melatih Ali untuk menjadi ejen yang lebih baik walaupun dia mempunyai keraguan pada Ali.

Plot[]

Bahagian 1[]

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 1-31 screenshot

Episod bermula dengan Ejen Rizwan dalam keadaan tergantung dari siling dalam keadaan terbalik di dalam bilik gelap. Dengan lancar dia melepaskan diri dan mendarat lalu mengetuk pintu untuk menarik perhatian pengawal. Pengawal yang masuk untuk menjenguk Rizwan dicubit dari belakang dan diikat pada kerusi. Dengan cermat Rizwan menuju ke bilik di hujung koridor tanpa dikesan. Sesampai di pintu bilik berkenaan, dia menjatuhkan dua pengawalnya dengan batang lolipop. Dia memasuki bilik gelap, mengunci pintu dan menemui peti besi. Belum sempat membukanya, datang beberapa lagi pengawal yang merempuh jatuh pintu dengan besi pelantak. Rizwan menyorok di siling, kemudian turun dan mencuit mereka semua dan melarikan beg bimbit dari peti besi.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 1-35 screenshot

Aksi Rizwan disaksikan oleh Ali dalam monitor bilik kawalan M.A.T.A. Dia ditemani oleh Jenny yang menerangkan bahawa ini merupakan program simulasi yang melatih ejen INVISO teknik menyelinap. Ejen Rizwan kembali ke bilik kawalan dengan beg bimbit, iaitu habuan dari latihan tadi. Ali memuji kehebatan Rizwan; Rizwan mencampak beg kepada Ali dan berkata tibanya giliran Ali. Ali memohon kebenaran untuk membawa Comot sekali, tetapi ditolak.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 1-49 screenshot

Seperti dengan Ejen Rizwan, Ali bermula dalam keadaan diikat terbalik. Dia melepaskan diri tetapi terhempas. Ali bangun dan mengeluh lenguh-lenguh di badan, sementara penjaga di luar tertarik perhatian dan membentak. Ali meminta untuk memulakan semula simulasi tetapi pengawal sudah pun merempuh masuk, jadi terpaksalah Ali memutarkan yoyo dan menyerang mereka.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 2-38 screenshot

Cubaan pertama nyata tidak berjalan lancar; Rizwan menegur sikap Ali yang gelabah dan kurang bersedia dengan berpesan bahawa musuh tidak akan menunggu dia bersedia. Ali mengaku telah tersilap; Rizwan berkerut dahi dan berpesan bahawa tidak semuanya akan berjalan lancar dalam misi sebenar, maka dia harus bertenang walau dalam saat genting dan tidak sekali-kali hilang tumpuan. Dengan nada yang tegas, Rizwan menambah bahawa tiada gunanya memakai I.R.I.S. jika pemakainya tidak boleh memainkan peranan, lagipun M.A.T.A. memerlukan ejen yang mampu menguasai I.R.I.S, jadi "jangan buang masa kami." Ali yang kecil hati memohon maaf. Rizwan menyuruh Ali mengulangi simulasi, tetapi Jenny mengingatkan bahawa dia akan terlambat ke sekolah. Ali pun cemas dan bergegas keluar, diikuti Comot.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 4-19 screenshot

Di sekolah, Puan Munah mengajarkan kelas matematik dengan topik operasi bergabung. Ali mengantuk kerana keletihan dari latihan ejen tadi. Serik melayan berulang kali Sarsi mengangkat tangan untuk menjawab, Puan Munah menduga Ali untuk soalan yang diajukan. Daripada bisikan Shaun di sebelah, Ali memberikan jawapan "x = 3" walaupun bukan kelas algebra atau persamaan linear, membuat seluruh kelas gamat dengan gelak tawa. Puan Munah melompat balik kuang ke meja Ali dan menghukumnya berdiri di luar kelas. Setelah habis kelas, Puan Munah keluar untuk menegur Ali bahawa tujuan hukuman ini adalah untuk Ali mengambil iktibar supaya tidak mengulangi perangai buruk, tetapi Ali terlena sambil berdiri, maka Puan Munah memekik sampai bergema untuk mengejutkan Ali.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 5-39 screenshot

Dalam perjalanan ke kantin, Ali ditemani Viktor, mengeluh kerana masih mengantuk. Viktor menyangka bahawa Ali bermain hingga lewat malam dan menegurnya, tetapi Ali menafikannya. Ejen Bakar yang menyamar sebagai tukang bersih sekolah datang untuk menjemput Ali secara senyap dengan muslihat membuang kotak minuman ke atas lantai. Bakar bertanya bagaimana latihan Ali; dengan teragak-agak Ali menjawab okey. Bakar bertanya apa masalah yang dihadapi; Ali meluahkan isi hati bahawa Ejen Rizwan agak tegas dalam melatihnya. Bakar berpendapat bahawa Rizwan bertindak sedemikian untuk memastikan Ali tidak bermain-main, malah memberinya suntikan semangat kerana bukan semua orang dapat belajar dengan ejen paling hebat dalam M.A.T.A. Menerima isyarat M.A.T.A, Ali pergi menyahut dengan lebih bersemangat.

Bahagian 2[]

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 6-4 screenshot

Ali bergegas ke bilik kawalan, disambut oleh Jenny. Dia bertanya di mana Ejen Rizwan, dan tiba-tiba dicuit dari belakang sehingga pengsan oleh Rizwan yang mengeluh akan kelewatan Ali. Ali bangun semula dan mendengarkan taklimat daripada Jenny bahawa menurut data yang terkumpul setakat ini, Ali tidak pernah menggunakan lebih daripada 30 peratus kuasa pemproses I.R.I.S. Rizwan memesan Ali bahawa dia kini perlu menguasai peranti itu. Ali membalas bahawa dia akan pengsan jika terlebih guna. Jenny menjamin bahawa itu boleh dielakkan sekiranya Ali mengawal I.R.I.S. dengan lebih efisien kerana I.R.I.S. berfungsi berdasarkan bacaan impuls dari otaknya. Rizwan menjelaskan bahawa I.R.I.S. dikawal oleh fikiran pemakainya. Tergamam, Ali mengaku tidak menyedari hal itu selama ini.

Terdapat lima jenis latihan yang dijalani Ali hari ini: satu lawan satu dengan Rizwan di dalam gudang yang gelap, mengumpul data sekitar bandar, melompat platform halimunan, simulasi larian berhalangan, dan melawan angkatan droid. Kesemua latihan dipaparkan secara bersilih ganti, tetapi disusun semula untuk kemudahan pembaca.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 10-26 screenshot

Latihan 1: Di gudang yang gelap, mula-mula Rizwan mencabar Ali untuk menyerangnya sampai dapat. Ali mencuba dengan menumbuk Rizwan tetapi dijatuhkan dengan mudah, kemudian Rizwan mengingatkan Ali untuk menggunakan I.R.I.S. Cubaan kedua: Ali berpaut di siling menunggu Rizwan muncul, kemudian turun dan menyerang tetapi disandung jatuh. Cubaan ketiga: Ali berlari dalam kegelapan tetapi dikesan oleh Rizwan. Cubaan keempat: Ali melontarkan yoyo ke arah Rizwan tetapi ditangkis dengan lemparan batang lolipop. Cubaan kelima: Ali menyerang lagi tetapi dicampak. Cubaan terakhir: Ali melontarkan yoyo ke arah Rizwan; Rizwan melentok kepala tetapi yoyo meledak di belakang. Rizwan membuat lompatan balik kuang untuk mengelak, tetapi dicuit di belakang oleh Ali. Rizwan mencangkung dan menyandungnya sampai jatuh. Ali merungut tidak adil Rizwan berbuat begitu; Rizwan mengingatkan bahawa musuh tidak akan bertindak adil.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 7-14 screenshot

Latihan 2: Mengumpul data dari sekitar bandar, di mana Rizwan mengajar Ali untuk mengubah corak daripada sekadar bertindak mengikut apa sahaja yang ditunjukkan oleh I.R.I.S. kepada memilih input yang diterima, bermula dengan meredamkan fungsi I.R.I.S. Ali menurut kehendak Rizwan dan melihat paparan data terpadam satu demi satu. Menerangkan bahawa cara ini dapat menjimatkan tenaga, Rizwan mengarahkan Ali untuk menumpukan satu demi satu jenis benda di persekitaran. Ali memasang semula I.R.I.S. bermula dengan kamera CCTV, dan mendapati ianya terpasang. Seterusnya kenderaan dan nombor plat; semua butirannya pun dikumpulkan, dan akhirnya data orang-orang yang berlegar di sekitar.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 7-22 screenshot

Latihan 3: Platform terapung bertukar halimunan. Untuk tunjuk cara, Rizwan melompat balik kuang dari pentas ke dalam jurang lalu memijak satu platform, dengan berpesan bahawa seorang ejen mestilah terlatih mesti mampu menghafal keadaan keadaan persekitaran dengan sekali imbas. Ali memandang sana-sini dengan gementar, tidak tahu ke mana hendak lompat; Rizwan memesan Ali untuk menggunakan I.R.I.S. untuk membantu daya ingatan. Ali berbuat demikian dan cuba mencari jalan, tetapi hanya sempat mengesan satu dua platform. Setelah Rizwan menggamit, Ali melakukan lompatan tetapi jatuh ke dalam jurang. Cubaan kedua: Ali nyaris tersasar tetapi sempat berpaut. Cubaan terakhir: I.R.I.S. berjaya mengesan semua platform, dan Ali berjaya membuat lompatan.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 9-21 screenshot

Latihan 4: Untuk larian berhalangan, Ali menerima panduan I.R.I.S. seperti berikut: gunakan Hyper Boost untuk mengelak dari dihempap pentas pertama, lompat empat daun seroja terapung, panjat monkey bar di pentas dua untuk mengelak lantai elektrik, dan melompat atas tiang melintang untuk mencapai butang penamat. Ali memecut lepas halangan pertama tetapi tersasar sehingga nyaris terjatuh; mujur dia memanjat kembali dan bersambung. Selepas monkey bar, dia berpaut pada tiang, mencapai pentas terakhir dengan terhuyung-hayang dan menekan butang. Penggunaan I.R.I.S. dinilai kurang memuaskan pada 36%; Rizwan berkata bahawa input dari I.R.I.S. tidak akan efektif jika tidak dilaksanakan dengan tepat. Cubaan kedua lebih lancar, namun Ali masih bersusah-payah dengan halangan tiang, dan penggunaan masih rendah pada 50%. Cubaan ketiga menyaksikan penggunaan I.R.I.S. mencapai 78%; satu pencapaian yang mendapat pujian daripada Jenny tetapi Rizwan berkeras itu belum cukup bagus. Cubaan terakhir menyaksikan Ali berjaya mendaratkan kaki di atas tiang dan melompat ke butang penamat dengan kemas, mencapai tahap sempurna 100%.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 9-47 screenshot

Latihan 5: Ali dikepung oleh seangkatan droid di koridor pangkalan M.A.T.A. Rizwan yang memerhati dari bilik kawalan mengingatkan bahawa I.R.I.S. boleh meramal serangan musuh berdasarkan analisis pergerakan, jadi Ali harus cuba meramal lebih daripada satu langkah. Ali menangkis tembakan droid dengan putaran yoyo. Salah satu droid melepaskan peluru Balistik; Ali mengelak dan terhempas lalu berhadapan dengan satu lagi droid yang mengacukan senjata ke arahnya. Rizwan mendesak Ali untuk cepat, tetapi Ali merungut susah kerana terlalu banyak musuh. Lama-kelamaan, Ali menggunakan I.R.I.S. untuk menganalisis corak perlawanan semua droid dengan sepenuhnya. Ali menggunakan Aero Boots untuk mengelak semua tembakan, kemudian melontarkan yoyo untuk menanjul tangan satu droid, mengheretnya untuk menembak jatuh satu lagi droid. Ali juga mempermainkan satu lagi droid dengan mengumpan dan melonjak sehingga ia tertembak droid-droid lain.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 10-58 screenshot

Setelah selesai latihan, Ali menunggu di bilik kawalan sementara Rizwan berbincang dengan Jenny tentang latihan Ali. Setelah itu, Rizwan mengucapkan syabas kerana menunjukkan peningkatan baik, kemudian memberitahunya bahawa akan adanya latihan terakhir esok, dan jika Ali lulus, dia boleh kembali menjalankan misi. Ali menawarkan lolipop kepada Rizwan sebagai buah tangan kerana tahu bahawa Rizwan gemar menghisap gula-gula jenis ini, tetapi Rizwan menolak dan memahamkan Ali bahawa "kita di sini untuk berlatih, bukan untuk berkawan," membuat Ali merajuk.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 11-22 screenshot

Ejen Bakar yang masih menyamar di sekolah menyambut kepulangan Ali yang tampil dengan lagak menggonggong lolipop seperti Rizwan. Ali menceritakan pujian yang diterima daripada Rizwan, tetapi pada masa yang sama meluahkan rasa kesal kerana sikap Rizwan yang seakan-akan sombong. Untuk itu, Bakar membawa Ali duduk bersama di kantin untuk menerangkan bahawa Rizwan berkelakuan sedemikian sejak kehilangan mentornya, iaitu Ketua Teras INVISO yang "terkorban" dalam cerita yang pernah diceritakan dalam misi sistem jana kuasa. Alicia muncul secara mengejut dan menegur Ali dan Bakar kerana membincangkan hal M.A.T.A. di tempat terbuka seperti kantin. Bakar turut mengkhabarkan kejayaan latihan Ali kepada Alicia, tetapi Alicia berpesan jangan terlalu berseronok. Ali bertanya kenapa; Alicia termenung mengenang peristiwa dia diselamatkan oleh Ali di stesen jana kuasa, lalu berkata tidak mengapa dan beredar dengan pesanan untuk berjaga-jaga.

Bahagian 3[]

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 12-41 screenshot

Ejen Rizwan memasuki bilik kawalan, disambut oleh Ali yang sampai awal, untuk menjalankan ujian terakhir yang akan menentukan nasib Ali dalam M.A.T.A. Jenny menerangkan bahawa objektifnya adalah merisik maklumat sulit yang terkandung dalam server angkatan askar upahan yang digelar Kumpulan Tedung. Ali bertanya siapa mereka, tetapi Rizwan menghalang Jenny daripada menjawab kerana itu maklumat sulit bagi Ali. Jenny menunjukkan lokasi sasaran di dalam kompleks bawah tanah, dan pintu masuknya merupakan terowong rahsia yang terletak di selatan kawasan perindustrian Cyberaya.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 13-18 screenshot

Mengikut telunjuk Jenny, Ali dan Rizwan mula-mula memasuki kompleks bawah tanah melalui syaf lif kargo, bersembunyi di atas bumbung gerabak lif sehingga keluarnya askar yang menumpang lif. Selepas itu, mereka berdua turun dengan senyap dan keluar pintu lif. Rizwan bercadang untuk mematikan sistem penggera, sementara Ali pergi mencari bilik server untuk merisik. Dengan menyerahkan pemacu kepada Ali, Rizwan memesannya untuk tidak keluar tanpa risikan yang diperlukan. Ali mengangguk kepala dan bergegas ke tempat yang ditujui. Setelah menyorok sejenak untuk mengelak dari dikesan oleh askar, Ali membelok ke kanan dan bertemu dengan laluan lantai elektrik. Untuk mengatasi rintangan ini, dia menggunakan Aero Boots untuk berjalan parkour pada dinding.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 14-4 screenshot

Apabila menghampiri pintu bilik server yang dikawal oleh dua orang askar, dia menyorok dan mencampak barang untuk mengalih perhatian mereka. Seorang askar pergi mencari, sementara Ali merayap pada alang siling, kemudian turun dan menimpa seorang lagi askar. Dia memecahkan kod kunci pintu, mengheret askar itu ke dalam, memasukkan pemacu dan menyalin data yang dikehendaki. Penggera berbunyi dengan tiba-tiba, Ali terkejut dan cuba menghubungi Rizwan tetapi tidak dapat bersambung. Datangnya lima orang askar, menembak ke arah Ali. Ali menggunakan yoyo untuk menepis tembakan dan menjatuhkan semua askar. Setelah semua data risikan disalin, Ali mencabut pemacu dan bergegas keluar.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 14-57 screenshot (1)

Sekali lagi Ali menemui lantai elektrik, kini ditambah penembak sentri di siling; askar-askar juga menghampiri dari belakang. Sekali lagi Ali memasang Aero Boots dan membuat parkour di dinding, tetapi terkena tembakan dari sentri. Dia segera memasang Hyper Boost dan untuk mengelak dari jatuh dan menyeberangi lantai dengan selamat. Kemudian, perjalanan keluar Ali tiba-tiba dihalang oleh pintu shutter di tengah koridor. Ali menggunakan I.R.I.S. untuk mengesan dan menceroboh punca kuasa untuk membuka semula pintu, tetapi terkena semburan gas pemedih mata. Sekumpulan askar tiba dan membidik ke arahnya, bersama dengan penembak sentri siling yang terletak di situ. Rasa cemas Ali memuncak apabila seorang askar tampil untuk cuba menghentak kepalanya.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 15-17 screenshot

Tiba-tiba, lampu berkelip-kelip dan semua askar naik pening diganggu di kepala. I.R.I.S. sedang mengalami perubahan besar, ditandai dengan pancaran cahaya putih menyilau dari cermin mata. Ali bangkit dan memandang ke arah siling, dan I.R.I.S. membuat penembak sentri menembak-nembak ke arah semua askar. Ali memahami bahawa kuasa baharu ini boleh mengambil alih kawalan sebarang objek yang difokuskan, jadi dia pun menggunakan I.R.I.S. untuk membuka pintu shutter dan bersambung melarikan diri. Dia dikejar lagi oleh askar-askar dan sekali lagi bertemu dengan lantai elektrik; kali ini dia menggunakan kuasa baharu untuk memadamkan arus elektrik dan berjalan di atasnya, kemudian memasangnya semula untuk mengejutkan askar-askar yang mengejar. Di tengah persilangan, Ali menutup semua pintu jalan untuk berlindung. Dia membuka satu pintu untuk jenguk, tetapi disambut oleh askar dan terus menutup semula. I.R.I.S. mengesan semua pintu dihendap askar, jadi Ali berikhtiar dengan keluar melalui salur udara siling sebelum askar-askar membolosi halangan. Ali keluar melalui lurang di luar kompleks dalam keadaan hampir kehabisan tenaga, disambut oleh Rizwan yang tersenyum sebelum pitam.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 16-11 screenshot

Ali kembali sedar di dalam bilik kawalan, disambut oleh Rizwan dan Jenny. Dalam keadaan susah hati, Ali menyoal Rizwan mengapa dia menghilangkan diri. Rizwan memujuk Ali untuk bersabar dan menerangkan bahawa latihan tadi adalah untuk menguji kemampuan Ali untuk bertindak sendirian dalam misi, malah mengucapkan tahniah kepada Ali kerana julung kali menyelesaikan misi tanpa sebarang bantuan. Ali bertanya apa yang berlaku dengan I.R.I.S. di akhir misi; Jenny menjelaskan, semasa Ali berhadapan dengan ancaman, bacaan impuls dari otaknya telah meningkat dengan pesat dan membuat kuasa pemproses I.R.I.S. mencecah 100 peratus dan secara automatik berubah ke peringkat yang baharu; Rizwan melafazkan namanya, "I.R.I.S. Override Mode." Tambah Jenny lagi, fungsi ini membolehkan I.R.I.S. menceroboh rangkaian berhampiran dan mengambil alih kawalan ke atas segala sistem yang terdapat di dalamnya, tetapi dia tertanya-tanya mengapa tiada sebarang rekod tentang fungsi tersebut dalam fail projek I.R.I.S. Rizwan berpendapat bahawa ia berkaitan dengan sebab projek tersebut dibatalkan. Jenny bercadang untuk menyelidik lebih lanjut sebelum melaporkan kepada General, sementara Rizwan menyuraikan Ali.

Ejen Ali Episod 9 - Misi Potensi 17-49 screenshot

Ali kembali di rumah dengan selamat. Menjawab loceng pintu, dia menyambut kepulangan Bakar dan Comot dengan gembira. Ali berterima kasih kepada Bakar kerana tolong menjaga Comot di sekolah, biarpun Comot tidak begitu mesra dengan Bakar. Dengan tujuan menunjuk cara Override Mode kepada Bakar, Ali cuba memasang televisyen dengan I.R.I.S, tetapi gagal. Bakar menyangka bahawa Ali lapar dan mengajaknya keluar makan, dan Ali yang berbelanja. Belum sempat begitu, Ali menerima isyarat dari Ejen Rizwan untuk misi dan meminta diri. Bakar merelakan kepergian Ali dengan menaruh rasa kesal kerana tidak dapat melatih Ali.

Watak[]

Nota[]

  • Episod ini dinamakan sebagai "MISI: POTENSI" kerana:
    • Rizwan melatih Ali untuk meningkatkan potensinya.
    • Latihan Ali dengan Rizwan telah membantu membuka kunci potensi istimewa I.R.I.S..
  • Ini adalah kali kedua Bakar menyamar sebagai tukang bersih sekolah. Kali yang pertama adalah dalam MISI: ALPHA.
  • Dalam episod ini diketahui bahawa sebelum menjadi mentor, Rizwan juga pernah berada di bawah tunjuk ajar seorang mentor, dan juga kesan kehilangan mentornya pada perwatakannya sekarang.
  • Alicia ditunjukkan mengalami trauma dengan peristiwa yang berlaku dalam MISI: PROTOKOL GEGAS.
  • Ini adalah penggunaan pertama (dan juga mengejutkan) daripada OVERRIDE MODE.

Galeri[]

Video[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement