Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: SERI ialah episod ketiga dalam musim pertama siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 22 April 2016.

Sinopsis[]

Semasa cuba menghentikan Komeng dan orang-orangnya daripada mencuri dron, Ali bertemu dengan sekutu misteri yang membantu dia mengalahkan mereka. Tetapi keadaan berubah setelah Ali mendapat tahu identiti sekutu misteri itu!

Plot[]

M1E3 Komeng debut

Pada waktu malam, setelah menerima arahan dari orang dalam, sekumpulan penyamun bermotosikal merempuh masuk pelabuhan Cyberaya dan berhenti di hadapan sebuah kontena C-Tech, disambut oleh ketua mereka, Komeng yang sudah menunggu di dalam perkarangan pelabuhan. Salah seorang penyamun yang berpakaian serba merah tua mengeluarkan besi kuku kambing dari kotak peralatan untuk cuba memecah masuk kontena tersebut. Cubaan itu dihalang oleh Ejen Bakar dan Ali yang hadir dari belakang. Komeng mengarahkan semua konco-konconya untuk menyerang mereka sambil melarikan diri. Bakar bertarung dengan konco-konco sementara Ali mengejar Komeng. Sewaktu mengejar, tiba-tiba I.R.I.S. mengesan susuk berpakaian serba hitam yang berlari di arah yang sama dengan Ali di atas kontena. Leka dengan susuk itu, Ali tergelincir di atas lopak minyak sehingga comot sutnya.

M1E3 Ali dan pengacau bertopeng

Ali bangun dan mengepung Komeng di jalan mati, tetapi sendiri dikepung oleh beberapa konco-konco di keliling. Komeng mengeluarkan pisau untuk mengasari Ali, tetapi dikejutkan oleh tindakan susuk hitam itu menembak jatuh pisaunya. Ali, Komeng dan konco-konco memandang susuk yang memakai topeng dan sut hitam dengan skaf hijau tua berdiri di atas kontena. Komeng mengarahkan konco-konconya untuk sambung menyerang Ali; Ali membalas dengan menggunakan yoyo untuk merampas belantan dari seorang dan menyandung dua orang lagi. Seorang lagi konco menyerang Ali dari belakang tetapi dijatuhkan oleh lastikan susuk bertopeng dari kontena. Susuk bertopeng dikejar oleh konco yang memanjat naik kontena, tetapi dia pun melastik mereka sambil turun untuk menolong Ali.

Dengan kisaran yoyo Ali dan lastik susuk bertopeng, mereka menjatuhkan semua konco di keliling. Datangnya beberapa lagi konco disambut oleh susuk bertopeng dengan melepaskan peluru lastik yang menyebabkan mereka jatuh dan terlekat pada satu sama lain, kemudian dihabiskan oleh Ali dengan ledakan angin dari yoyonya. Ali hendak meraikan kejayaan dengan menepuk tangan susuk bertopeng, tetapi dia tercegat. Komeng yang sudah tewas datang untuk memberi mereka amaran dan bersiul untuk memanggil motosikal automatiknya ke mari untuk melarikan diri. Ali cuba menyapa susuk bertopeng tetapi dia menghilangkan diri. Bakar tiba di posisi Ali dan hairan melihat ramai konco bergelimpangan sementara Ali memandang ke atas dengan rasa kagum dengan susuk bertopeng.

M1E3 Kotak minuman tak masuk bakul

Keesokan pagi di sekolah dalam perjalanan masuk kelas, Viktor mengeluh kepada Ali betapa susahnya mengalahkan tahap bos dalam permainan di tangannya. Ali meminta untuk mencuba permainan itu sambil melontarkan kotak minuman ke arah bakul sampah berdekatan. Kotak minuman terkena bibir bakul dan tidak masuk, menyebabkan Alicia diiringi Mia yang tampil di hadapan Ali dan Viktor mendenda Ali untuk membersihkan tandas. Ali merayu untuk dimaafkan dengan membuang kotak itu betul-betul, tetapi Alicia menolak atas alasan dia tidak akan mengambil iktibar jika tidak didenda. Loceng sekolah berbunyi, dan Alicia menambah satu lagi denda kelewatan untuk Ali yang tidak sempat melangkah masuk ke dalam bilik kelas; ini membuat Ali tercegat diselubungi kemarahan dan Viktor terpaksa menyorongnya ke dalam.

Dalam bilik kelas, Puan Munah memulakan kelas sains dengan sebatan rotan yang menggemparkan sebagai amaran untuk tidak mengganggu kelas. Ali yang masih menaruh geram menconteng kertas dengan gambar kutukan terhadap Alicia, merenyukkan kertas itu dan melontarnya ke arah Alicia yang duduk di hadapan. Alicia melentokkan kepala untuk mengelak kertas itu dan ia terkena muka Puan Munah sehingga dia marah menyoal siapa yang campak kertas itu. Alicia dengan licik mempersalahkan Ali yang meromok sambil meminta maaf, maka Puan Munah menghukumnya dengan hujanan kertas renyuk.

M1E3 Ali dikejutkan Mia

Seketika kemudian sewaktu kelas, Ali menerima isyarat dari M.A.T.A. pada telefon bimbitnya dan cuba meminta diri untuk ke tandas, tetapi dicelah oleh Mia melakukan perkara yang sama serentak. Puan Munah mengizinkan mereka berdua, dan Ali bergerak pantas ke perpustakaan. Sedar-sedar, dia tercungap diekori oleh Mia yang cuba meminta Ali untuk menyampaikan surat cinta kepada Viktor. Setelah Mia beredar, Ali mencampak surat itu dengan rasa leceh dan mencapai buku yang menyimpan suis rahsia.

M1E3 Alicia Ali eleh

Sebaik sahaja membuka pintu lif, Ali tercungap dengan kehadiran Alicia yang bertanya apa yang dilakukannya di situ. Dikepung, Ali mengaku tentang penglibatan rahsianya tetapi disampuk oleh sebutan M.A.T.A. dari mulut Alicia, membuat Ali tercungap lagi. Alicia hairan mengapa Ali direkrut dengan kelakuan sebegini, dan Ali pun menceritakan tentang dia mengalahkan 20 orang penyamun semalam. Cerita itu membuat Alicia meneliti Ali dan mengecamnya sebagai "ejen itu", membuat Ali tercungap lagi sehingga mengundang amaran keras dari pustakawan yang tidak tahan dengan cungapan bisingnya. Ali membisik untuk bertanya sama ada Alicia susuk bertopeng itu, tetapi isyarat M.A.T.A. menyala lagi di kedua-dua peranti mereka. Ali bergegas ke arah lif, tetapi Alicia menyandungnya lalu membolot lif dan turun sambil mengherotkan mukanya ke arah Ali.

Ali akhirnya turun ke bilik kawalan M.A.T.A. dalam keadaan merajuk, disambut oleh Ejen-ejen Bakar dan Jenny, dan General Rama yang menegurnya kerana tiba lambat. General membuka taklimat dengan memaparkan wajah Komeng dalam hologram panel dan menerangkan bahawa Komeng merupakan orang kanan Abang Bear yang banyak merompak ciptaan baru M.A.T.A; Bakar menerangkan bahawa Abang Bear ialah samseng nombor satu Cyberaya. Sambung General, C-Tech selaku pembangun ciptaan M.A.T.A. akan memindahkan barangan ke lokasi yang lebih terkawal untuk dijauhkan dari jangkauan Komeng, tetapi ada kemungkinan Komeng akan memintas pemindahan barang di pertengahan jalan.

M1E3 Jenny dron

Ali bertanya barang apa yang begitu penting untuk dilindungi, dan Jenny memaparkan rajah dron UAV-CUBE 3000 sambil menerangkan bahawa ianya pesawat udara tanpa pemandu yang dikawal dengan sarung tangan khas; General mencelah bahawa ianya senjata teknologi baharu yang berbahaya jika jatuh di tangan yang salah. General menugaskan Bakar ke bahagian keselamatan dan Ali ke pengawasan. Ali mengeluh kerana sekadar diberi tugas pengawasan tetapi General mencebik ke arahnya supaya patuh.

Sebaik sahaja General menyuruh Ali dan Bakar "bertindak segera," Alicia bertanya apa tugasnya, membuat General hairan dan Ali dan Bakar pun tercegat. Jenny bercadang untuk Alicia menyertai Ali dan Bakar untuk menimba pengalaman, tetapi General membantah kerana Alicia masih muda. Alicia mengemukakan alasan bahawa dirinya sebaya dengan Ali, malah lebih layak daripada Ali kerana sudah bertahun-tahun berlatih sedangkan Ali menyertai M.A.T.A. semata-mata kerana memakai I.R.I.S. Dalam hujahnya, Alicia tersasul memanggil General 'papa', membuat General melaungkan bentakan "Cukup!" dengan bergema, sementara Ali hairan mengapa Alicia menggelar General sebagai ayah. General menarik nafas kuat dan mengulas sudah ada cukup budak mentah dalam misi, lebih-lebih lagi dengan 'pengacau bertopeng'. Akhirnya, General membentak "Bertindak segera!" kepada Ali dan Bakar yang masih berlengah mendengar pertengkaran tadi, maka mereka pun bergerak.

M1E3 Komeng motosikal bergergaji

Sebuah lori C-Tech yang mengangkut bekalan dron UAV-CUBE 3000 dan diiringi oleh dua kereta polis di hadapan dan belakang memasuki terowong, diserang hendap oleh geng penyamun bermotosikal Komeng. Empat orang konco memintas ke hadapan dan melemparkan sekotak telur ke arah cermin depan kereta polis, menyebabkan ia terbabas, sementara dua orang lagi konco pula melepaskan tembakan untuk menjatuhkan kereta polis belakang. Ini membuka ruang kepada Komeng yang menunggang motosikal besar ke dalam terowong dari belakang dan mengeluarkan mata gergaji dari tayar motosikal untuk memecah masuk ruang memandu lori, kemudian dia menghumban pemandunya dan merampas lori.

M1E3 Alicia buka topeng

Geng Komeng membawa lori ke sarang mereka, di mana Komeng mengarahkan konco-konco untuk mengeluarkan bekalan lalu meninggalkan lori supaya tidak meninggalkan jejak. Ali dan Bakar muncul dan mengherdik geng penyamun itu dari bumbung, dan Komeng geram melayan gangguan mereka 'bertiga'; sekali lagi pengacau bertopeng muncul secara mengejut, mendedahkan wajahnya sebagai Alicia sambil menukar warna sutnya kepada kuning. Ali gempar melihat wajah sebenar Alicia dan mencemuhnya kerana merebut misi daripadanya, dan Bakar pun menggesa Alicia supaya berundur tetapi Alicia berkeras hendak berjuang kerana merasakan dirinya lebih layak daripada Ali walaupun tidak memakai I.R.I.S.

Ali, Bakar dan Alicia turun untuk menentang geng penyamun, dan Komeng pun mengarahkan konco-konco untuk membelasah mereka. Ali meluru ke arah seorang konco dan tunduk untuk mengelak dari pukulan belantan. Alicia melepaskan peluru lastiknya (Balistik) ke arah Ali, memaksa Ali untuk tunduk lagi supaya peluru mengena konco. Ali mengejar seorang lagi konco yang menyerang bakar dengan kapak, tetapi Alicia melastik jatuh konco itu terlebih dahulu lalu melastik seorang lagi yang menyerang Ali dari belakang.

M1E3 Komeng dron

Ali geram melihat setiap kali Alicia berjaya menjatuhkan musuh membuat, seolah-olah tugasnya dirampas oleh Alicia, maka dia mencari gaduh dengan Alicia dan dibalas dengan bedilan lastik Alicia ke arah kakinya. Komeng senang hati menyaksikan perbalahan antara mereka dan bersiap untuk mengawal dron yang dicuri. Dengan sarung tangan khas, dia menghalakan dron ke arah Ali dan Alicia yang sedang bertengkar. Melihat dua budak itu dalam bahaya, Bakar segera meluru ke arah mereka untuk menampan pancutan laser dari dron yang hendak menembak mereka. Bakar rebah dari tembakan itu, dan Ali meratap sementara geng Komeng bersorak dan melarikan dron-dron yang dicuri.

M1E3 Ali Alicia General

Sekembali di markas, Bakar dibawa ke bilik rawatan di bawah penjagaan Jenny, sementara Ali dan Alicia dihadapkan kepada General Rama yang memarahi mereka atas perkelahian yang menggagalkan misi, lebih-lebih lagi Alicia yang mengingkari larangan pergi dan oleh itu digantung tugas. Ali cuba menjelaskan cerita pihaknya tetapi General pun menggantung tugasnya kerana mengingkari arahan. General hendak memberi amaran kepada Ali dan Alicia tetapi diganggu oleh dengkuran Bakar yang bising, maka dia menyuraikan mereka terus. Ali suram menuju ke pintu keluar sambil melayan jaminan Jenny bahawa Bakar tidak apa-apa, kemudian berpaling ke arah Alicia yang bermasam muka.

M1E3 Ali smash

Ali kembali ke sekolah untuk menjalani latihan badminton. Viktor mendapati Ali menarik muka dua belas setiap kali terlihat Alicia. Di bawah penyeliaan Puan Munah, Ali dan Viktor bermain beregu melawan Alicia dan Mia. Sepanjang bermain, Ali diselubungi perasaan dendam terhadap Alicia dan tidak fokus pada permainan sehingga langsung tidak mendapat markah. Ketika regu Alicia hampir menang, Viktor berhenti dan duduk di tepi gelanggang bersebelahan (dan bermesra) dengan Mia, maka tinggal Ali dan Alicia berlawan satu lawan satu. Ali mendapat peluang untuk merangkul mata dan menyuruh Viktor tolong mengangkatnya supaya dia dapat melompat tinggi untuk menangkis bulu, tetapi bulu itu terkeluar dari gelanggang. Sukar menerima kekalahan, Ali mencampak raketnya dan duduk di atas bangku. Dia ternampak Alicia bergerak setelah menerima isyarat di telefon lalu mengekorinya.

M1E3 Komeng geng dron

Pada malam hari, geng penyamun Komeng memecah masuk Bank Cyberaya dengan dron-dron curian mereka untuk menjarah harta benda sehingga habis. Alicia turut menyusup masuk untuk mengawasi gerak-geri mereka, kemudian dikejutkan oleh Ali yang mengherotkan muka padanya dan cuba merebut tugas dari Alicia. Ali bertanya bagaimana Alicia tahu tentang rompakan ini; jawabnya, dia telah menggodam dan menyambungkan rangkaian polis Cyberaya dengan telefonnya, kemudian menerima pesanan apabila bank diceroboh. Ali temberang mengaku melakukan perkara yang sama, tetapi Alicia dalam geram menerima penyertaan Ali asalkan dia tidak mengacau misinya; Ali sekali lagi mendakwa misi ini untuk dirinya.

M1E3 Alicia Ali berbincang

Pertengkaran Ali dan Alicia menarik perhatian geng Komeng, dan Alicia menyalahkan Ali kerana terbongkar. Komeng dan konco-konconya mengawal dron untuk menghujani mereka dengan laser. Ali berlari lintang-pukang mengelak tembakan, sementara Alicia cuba melastik jatuh dron-dron itu tetapi ditampan perisai pelindung yang dipasang pada dron. Ali berlari ke ruang legar bank dan cuba mencari jalan untuk menjatuhkan dron, tetapi terlanggar Alicia dan mereka terus berkeliaran. Komeng seronok melihat mereka kelam-kabut dan tidak melayan permintaan dari konco untuk beredar setelah selesai menjarah.

Alicia melepaskan peluru asap dengan Balistik untuk mengaburi geng Komeng, kemudian dia dan Ali menyorok di belakang kaunter dan meminta untuk merancang bersama-sama. Pada mulanya, Ali enggan kerana ingin bertindak sendiri lalu beredar, tetapi dia dihujani tembakan dron lalu berpatah balik dan akur untuk bekerjasama. Alicia bercadang untuk mereka tidak menjatuhkan dron, sebaliknya mengerjakan geng sahaja. Ali bertanya bagaimana sedangkan mereka tidak boleh menghampiri; Alicia menjawab dengan mengeluarkan Balistiknya.

M1E3 Balistik Alicia

Mengikut rancangan, Ali pergi ke pintu depan bank untuk mengumpan geng Komeng. Alicia mengambil kesempatan dengan melastik seorang konco sampai jatuh, menyebabkan dron yang dikawalnya jatuh sekali. Ali menyorok di sebalik dinding dan memasang X-vision untuk mencari peluang. Datangnya tiga dron sederet berlalu di hadapan, dan Ali menggunakan yoyonya untuk menanjul dron di tengah dan bergayut padanya, tetapi ini menyebabkan dron itu berhinggut-hinggut sambil menembak sehingga tertembak sini-sana, menjatuhkan banyak konco dan dron tetapi juga menjejaskan cubaan Alicia melastik di ruang menunggu bank.

Sedang dia membidik semula, Alicia terkesan satu lagi dron yang menembak dari tepi, maka dia mengumpan dron itu ke posisi Ali. Ali mengisarkan yoyo untuk membuat perisai sementara Alicia melompat ke belakang Ali dan melastik ke arah pengawal dron itu. Sekali lagi Alicia mengumpan dron dan kali ini, Ali menggunakan lontaran yoyo untuk menanjul sarung tangan pengawalnya. Setelah bergelut seketika, Ali dibantu oleh Alicia yang melastik penyamun terbabit dari besi pengadang. Komeng menghalakan tembakan dron ke arah Alicia lalu mengepungnya, tetapi dilanggar dari belakang oleh Ali yang menunggang satu lagi dron. Komeng cepat bangun dan menyedari sarung tangannya sudah dirampas oleh Ali. Marah kerana rompakan sudah dipatahkan, Komeng mensiulkan motosikalnya dan lari dan berundur bersama konco-konco yang tinggal.

Sekali lagi Ali dan Alicia dihadapkan kepada General Rama yang menengking mereka kerana mengingkari penggantungan tugas mereka. Alicia cuba membuka mulut tetapi didiamkan oleh General yang enggan mendengar sebarang alasan. Ali bertindak mengaku bertanggungjawab mengesan dron-dron itu untuk menebus kesilapan dan merayu kepada General supaya memaafkan Alicia. Setelah menimbang, General merendahkan nada suara dan memesan mereka supaya tidak bertindak sesuka hati, bahkan memuji mereka kerana menjayakan misi dan mengucapkan syabas kepada Alicia.

Alicia bertanya mengapa Ali membelanya, dan Ali menjawab hendak membalas budi dari pelabuhan, maka mereka 'seri.' Alicia tidak bersetuju dan berpesan bahawa dia menyelamatkan nyawa Ali ketika itu, tetapi kali ini Ali sekadar dimarahi kerana menolongnya, maka dia masih berhutang padanya. Alicia juga mengingatkan Ali akan denda cuci tandas. Ali hendak melepaskan geram setelah mendengar kata-kata pedas Alicia, tetapi dikejutkan oleh Bakar yang muncul dari bilik rawatan bersama Jenny. Jenny mengucapkan tahniah kepada Ali kerana menuntut semula dron-dron itu, dan Bakar teruja dan tertanya-tanya sama ada Ali menjalankan misi seorang diri; dengan rasa jengkel Ali mengaku pergi bersama Alicia. Bakar bertanya lagi sama ada Ali berbaik dengan Alicia, tetapi Ali keluar dari bilik kawalan dengan geram. Tanpa disedari, gerak-geri mereka sedang diawasi oleh Dos dan Trez yang memasang alat pengintip pada lipas di dalam bilik kawalan.

Watak[]

Nota[]

  • Alicia didedahkan merupakan ejen M.A.T.A. dan anak perempuan kepada General Rama.
  • Episod ini bertajuk "MISI: SERI" kerana Ali dan Alicia perlu menyelesaikan perbezaan mereka dan bekerjasama untuk menyelesaikan misi ini.
  • Ini adalah kali pertama Ali dan Alicia bergaduh ketika misi.

Galeri[]

Video[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement