Ejen Ali Wiki
Register
Advertisement


MISI: UNO ialah episod ke-12 dalam musim pertama siri Ejen Ali. Ia pertama kali disiarkan di TV3 pada 13 Januari 2017.

Sinopsis[]

Uno telah mencerobohi markas M.A.T.A. dan misi utamanya adalah untuk menangkap Ali!

Plot[]

Bahagian 1[]

Setelah tumbang dalam pertarungan di markas Uno, Ali berada dalam keadaan separa sedar di bilik kawalan M.A.T.A, diiringi Ejen Rizwan, Jenny dan Comot serta General Rama. Disoal oleh Jeneral, Rizwan menjelaskan bahawa musuh telah memerangkap Ali dan cuba memisahkan I.R.I.S. daripadanya dengan ciptaan baharu Dr. Aaron. General terkilan mendengar khabar itu; Rizwan menambah bahawa mereka bertemu dengan Uno.

Ali terjaga dan menggesa supaya Ejen Bakar dibebaskan kerana ternyata dia bukan Uno; General menolak kerana belum dipastikan bahawa Bakar bukan pengintip musuh, malah pihak M.A.T.A. tidak mahu mengambil risiko untuk membebaskannya. General mengatakan bahawa kemunculan Uno menandakan rancangan musuh sudah hampir sempurna dan mereka akan memburu Ali sebagai pelengkapnya; ini membuatkan Ali gugup. Rizwan bercadang agar semua ejen mengosongkan markas dan Ali dilarikan ke ibu pejabat; cadangan itu disetujui General.

Tiba-tiba, siaran General diganggu dan diambil alih oleh Uno yang menuntut I.R.I.S, bahkan memperlekeh sistem keselamatan M.A.T.A. kerana sering diceroboh. Ali menyoal tujuan Uno memburu I.R.I.S; Uno enggan menjawab kerana tidak bijak mendedahkan rancangannya, malah memujuk Ali untuk menyerahkan I.R.I.S. dengan aman tanpa menggunakan kekerasan. Ali menekad enggan berbuat demikian, maka Uno mengakhiri perbualan dengan mengatakan bahawa Ali akan menyesali nekadnya.

Penggera berbunyi menandakan ada penceroboh. Jenny memasang paparan kamera keselamatan dan mendapati Uno bersama Dos dan Dr. Aaron sudah berada di koridor markas, malah Dos melontarkan Shox Stixnya ke arah kamera sampai pecah. Rizwan mengarahkan untuk menghidupkan sistem pertahanan maksimum dan Jenny membawa ali ke ibu pejabat sementara dia menguruskan musuh melalui laluan yang ditetapkan. Akan tetapi, markas bergegar dan kamera lain menunjukkan Trez sudah mengganas di laluan ke ibu pejabat. Disuruh oleh Rizwan mencari jalan lain, Jenny bercadang untuk membawa Ali ke bunker. Rizwan bersetuju dan mengingatkan Ali untuk tidak membiarkan Uno mendapatkan I.R.I.S. walau apa sekalipun. Sebelum pergi, Ali membisikkan arahan khas kepada Comot; Comot bertukar halimunan dan bergerak. Meja komputer bertukar menjadi lif platform yang membawa Ali dan Jenny ke bunker di tingkat terbawah.

Dalam perjalanan turun, Jenny menerangkan kepada Ali bahawa setiap kemudahan M.A.T.A. dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu bunker, bilik kebal bawah tanah yang hanya digunakan sewaktu kecemasan apabila ejen sudah tiada tempat lain untuk berlindung. Jelasnya lagi, bunker ini dikelilingi titanium setebal satu kaki dan mampu bertahan dari kerosakan luar serta tekanan tinggi, tak kira dari bencana alam atau apa-apa serangan termasuk letupan nuklear.

Sebaik sahaja tiba di bunker, Ali terus mengagumi suasana kemas dalam bunker sementara Jenny pergi mengerjakan komputernya dan berkata mereka akan menunggu di bunker sehingga Rizwan mengalahkan musuh. Ali khuatir bagaimana jika Rizwan tewas; Jenny berkata mereka akan menunggu bantuan dari ibu pejabat. Ali cemas bersungut bahawa ibu pejabat sedang menunggu mereka; Jenny meyakini bahawa ibu pejabat akan sedar akan keadaan mereka. Ali bertanya berapa lama; Jenny menjawab selama yang diperlukan dengan pujukan bahawa terdapat bekalan makanan cukup untuk setahun. Ali merungut lagi bahawa kehilangannya akan dirasai oleh bapanya dan kawan-kawannya termasuk Viktor dan Alicia.

Jenny memasang siaran kamera keselamatan, dan didapati bahawa Dos dan Trez sudah menghampiri pintu bilik kawalan. Angkatan dron menembak ke arah mereka tetapi ditampan oleh Trez dan dijatuhkan oleh Dos. Uno muncul di belakang, diiringi Dr. Aaron dengan topi Separator. Datangnya sebuah Buster Droid dan tiga Droid biasa untuk menghalang mereka. Dos dengan Velocity Boots memecut ke arah angkatan droid, menangkis tumbukan yang dilancarkan oleh Buster Droid, melontarkan Shox Stix ke arah droid biasa di tengah dan menjatuhkan dua lagi dengan Bilah Plasmanya. Trez berpanca dengan Buster Droid, ditumbuk di muka. Buster Droid melancarkan penumbuknya ke arah Trez; Trez menyambut dan menghantar balik tumbukan itu, menjatuhkan Buster Droid. Kemudian, Trez menerkam dan menumbuk-numbuk Buster Droid sehingga hancur.

Bahagian 2[]

Menyaksikan pertempuran meruncing angkatan droid dengan kumpulan Uno, Ali tertanya-tanya sama ada semua senjata pertahanan sudah dihidupkan dan tiada lagi cara lain yang boleh digunakan. Jenny mengesahkan bahawa sistem pertahanan sudah diaktifkan pada tahap maksimum, termasuk semua dron dan droid. Ali menghentak panel komputer dengan kecewa kerana tidak yakin dengan usaha yang diperlihatkan; Jenny meminta maaf kerana ini sahaja yang ada. Ali mundar-mandir memikirkan jalan, kemudian terlihat empat buah Buster Droid tidak aktif yang terletak di pinggir bunker dan bercadang agar mereka dihantar ke atas. Jenny menegah kerana akan terpaksa membuka setiap lapis pintu kebal, lagipun Buster Droid itu merupakan barisan pertahanan terakhir. Namun begitu, Ali mendesak untuk mencuba.

Ali ternampak mikrofon di tengah-tengah panel komputer dan bercadang untuk meminta bantuan daripada ejen-ejen lain. Jenny mengingatkan bahawa Uno telah menggodam sistem komunikasi seluruh M.A.T.A. Namun begitu, Ali tetap cuba menghidupkan sistemnya dan berjaya; Jenny mula-mula khuatir Ali akan merosakkan komputer, kemudian lega atas sebab sistem komunikasi di bunker berasingan dari panel di atas. Ali menjerit-jerit kecemasan pada mikrofon, tetapi komputer memaparkan notis isyarat terganggu. Jenny mengambil alih dengan menghubungi ibu pejabat dan memohon bantuan, namun status isyarat tidak berubah baik. Ali mengeluh dan membuka telefonnya dan mendapati Alicia pun belum cuba menghubunginya.

Droid-droid pertahanan terakhir ditusuk dan dipancung oleh Dos dengan Bilah Plasma, kemudian dihentam-hentam sehingga hancur oleh Trez. Rizwan tiba di koridor, melihat bangkai droid bergelimpangan dan bertentang mata dengan penyangak berdua. Trez meluru ke arah Rizwan dan menghentam lantai; Rizwan melonjak. Dos melontar Shox Stix ke arahnya; Rizwan menangkap dan menghalakan semula cekak itu ke arah Trez, mengena dan melumpuhkan tangan kanannya. Kemudian, Rizwan pergi ke belakang Trez dan mencuit tengkuknya. Dos dari belakang melesing Rizwan dengan bilahnya; Rizwan melompat ke belakang. Dos menyerang Rizwan bertubi-tubi dengan bilahnya tetapi tetap dielak. Dos cuba meradakkan Bilah Plasma tetapi Rizwan mencuit bahu kiri Dos sehingga lumpuh. Dos menyerang lagi dengan bilah kanan tetapi tidak mengena.

Uno muncul dan menghentikan pertarungan Dos dengan Rizwan lalu bersemuka dengan Rizwan. Trez bangun dari tersungkur, diperli oleh Dr. Aaron kerana berlagak. Rizwan dan Uno meluru ke arah satu sama lain, saling menumbuk, menyepak dan mencuit dengan laju dan tangkas. Dr. Aaron kagum melihat pertarungan itu dan mengejek Dos dan Trez tentu kalah jika meneruskan. Trez sakit hati mendengar ejekan itu dan mencekik Dr. Aaron.

Rizwan dan Uno berhenti sejenak. Uno sinis mengatakan Rizwan tidak sehebat yang diharapkan. Rizwan menenangkan diri dan membuat sikap pasang dengan kedua-dua tangan membuat jari cuitan menunjuk ke arah lawannya; Uno menunggu dengan pongah. Rizwan sekali lagi menyerang Uno dengan cubaan mencuit dan menendang bertubi-tubi tetapi semuanya dielak dan ditangkis. Rizwan berundur, melompat kembali dan cuba mencuit dengan tangan kanannya tetapi dicekup oleh Uno. Rizwan cuba menumbuk dengan tangan kiri, tetapi ditolak jatuh oleh Uno dengan tapak tangan bergelombangnya.

Rizwan dalam keadaan tersungkur tertanya-tanya mengapa Uno dapat membaca setiap pergerakannya. Uno diselubungi aura hitam, mengambil giliran menyerang dengan meluru ke arah Rizwan dan cuba menolak-nolak dengan tapak tangan, tetapi semuanya pun ditangkis oleh Rizwan. Rizwan cuba mencuit Uno semula tetapi Uno tetap mengelak dan menolak Rizwan dengan kencang sehingga tercampak ke hujung. Rizwan semakin letih, menghisap sebatang lolipop dan menyerang lagi, namun setiap cuitan tetap ditepis oleh Uno. Uno cuba menyandung Rizwan di kaki tetapi Rizwan sempat mengelak dengan lompatan balik kuang sambil melontarkan lolipop ke arah muka Uno, menyebabkan topengnya pecah. Uno dengan sinis memuji kehebatan Rizwan sambil membuka topengnya, mendedahkan wajah yang sangat dikenali oleh Rizwan. Ali yang menonton pertarungan dalam siaran kamera bertanya siapa empunya wajah itu; Jenny menjawab bahawa itulah Djin, ketua teras INVISO yang sepatutnya sudah terkorban.

Bahagian 3[]

Atas suruhan Ali, Comot memasuki kawasan bilik kurungan melalui salur udara. Dengan menghidu, ia mengesan bilik kurungan Ejen Bakar dan mengetuk pintunya. Ejen Bakar gembira bertemu semula dengan Comot tetapi hampa kerana Ali tidak hadir dan merintih bahawa Ali mungkin masih renggang dengannya sejak dijadikan anak didik Rizwan. Comot mencari jalan untuk membebaskan Bakar, menemui saluran dawai di bawah lantai yang menghubungkan bilik kurungan dengan bilik keselamatan lalu menuju ke arah situ.

Masih terkenang insiden letupan di mana Djin ditinggalkan ketua-ketua teras lain, Rizwan terkilan melihat Djin masih hidup dan bertukar menjadi pihak musuh. Uno terbahak-bahak mentertawakan kenaifan Rizwan dan menceritakan bahawa peristiwa yang menimpanya bukan kemalangan tetapi dirancang oleh "ketua-ketua pembelot" yang disanjung oleh Rizwan sendiri. Rizwan terkilan mendengar cerita Djin. Didesak oleh Dos untuk bergerak cepat, Uno menggesa Rizwan untuk berhambus dan dibiarkan hidup.

Uno, Dos, Trez dan Dr. Aaron memintas Rizwan yang tercegat untuk menuju ke bilik kawalan. Rizwan bertanya mengapa Uno memburu I.R.I.S; Uno berhenti dan berkata Rizwan sendiri tahu sebabnya. Rizwan meneka Override Mode. Uno berkata dia akan menggunakan I.R.I.S. untuk mengambil alih Mainframe M.A.T.A. dan menghapuskan semua Ketua Teras dan pengikut setia mereka. Bertekad untuk menghalang Uno, Rizwan kembali bertarung dan cuba mencuit Uno. Uno menunduk dan menolak Rizwan jauh-jauh dan mengutuknya berani tidak bertempat. Uno meminta konco-konconya bergerak dahulu sementara dia menguruskan Rizwan.

Ali panik melihat musuh semakin mara. Jenny cuba meyakinkan Ali bahawa dia akan selamat di bunker, tetapi Ali mengingatkan bahawa Djin ialah bekas ketua teras INVISO yang serba tahu selok-belok dalam M.A.T.A. untuk mencapai mereka. Jenny dengan segan menerima kemungkinan itu. Ali merengek lagi tidak dapat berdepan dengan ketua musuh yang paling hebat menyelinap malah tidak berjaya dikalahkan Rizwan. Sambil membelai, Jenny memujuk Ali bahawa dia tidak perlu mengorbankan diri demi M.A.T.A. kerana ini bukan pertarungannya. Ali hairan mendengar kata-kata itu; Jenny berkata lebih baik dia menyelamatkan diri dengan menyerahkan sahaja I.R.I.S. kepada musuh supaya dia dapat kembali ke kehidupan normal.

Ali menanggalkan I.R.I.S. dan terkenang masa dirinya disoal General Rama mengapa dia mahu jadi seorang ejen, dan juga jawapan positif yang diberikannya bahawa dia dapat menolong orang dengan alat istimewa itu. Daripada itu, Ali berkeras tidak akan menyerahkan I.R.I.S. kerana dirinya bertanggungjawab ke atasnya dan tidak akan kalah tanpa berjuang. Ditanya bagaimana oleh Jenny, Ali bercadang untuk menggunakan Override Mode. Jenny meraguinya, tetapi Ali terus memakai semula I.R.I.S. dan mencuba. Sementara itu, Dos, Trez dan Dr. Aaron memasuki bilik kawalan yang sudah serba kosong dan gelap. Dr. Aaron geram kerana tidak menjumpai I.R.I.S. serta merta; Dos memintanya untuk bersabar.

Ali "memeras" I.R.I.S. untuk mengeluarkan Override Mode tetapi langsung tidak berjaya, malah Jenny pun berasa caranya tidak berkesan. Ali memandang ke arah Buster Droid dan meminta Jenny mengaktifkannya untuk menyerang dirinya. Jenny keberatan kerana Buster Droid lima kali lebih kuat daripada Droid dalam latihan, tetapi Ali dengan teruja tetap menggesa kerana merasakan bahawa kekuatan lebihan itu dapat menyebabkan tercetusnya Override Mode. Jenny seolah-olah menuruti gesaan Ali, menghidupkan keempat-empat Buster Droid yang ada di dalam bunker. Ali memasang Aero Boots untuk melonjak tinggi-tinggi dan bersiap dengan memutarkan yoyo, tetapi tiba-tiba semua gajetnya terpadam dan Ali jatuh kembali. Tergamam dengan apa yang terjadi, Ali terkena kejutan elektrik dan rebah.

Ali mencelikkan matanya ke arah Jenny yang meniup penanya yang berasap. Jenny menanggalkan cermin matanya dan meminta maaf dengan nada sinis atas perbuatan menjatuhkan Ali kerana degil. Jenny membuka laluan lif bunker dan menyambut kedatangan Dos, Trez dan Dr. Aaron yang turun dengan tali. Melayan Dos yang tersangka Jenny sudah lupa akan tugasnya, Jenny menceritakan kenang-kenangan sepanjang tugas membocorkan maklumat dari M.A.T.A. semenjak bertukar pakaian dengan Dos pada kali pertama mereka mencuri I.R.I.S, membuatkan kumpulan mereka selangkah di hadapan agensi dalam setiap misi yang melibatkan Ali, sehingga memasang peranti pepijat di bawah panel komputer untuk mengganggu komunikasi sewaktu Ali membuat panggilan kecemasan. Malah, Jenny sendiri yang mematikan droid ketika Ali mencuri masuk markas supaya dia dapat memakan umpan. Ali yang tertungkup dan tidak terdaya memandang ke arah Jenny dengan hati yang hancur luluh, sementara Dr. Aaron atas arahan Dos bersiap untuk memisahkan I.R.I.S. daripada ejen muda itu.

Watak[]

Nota[]

  • Sehari sebelum penyiaran episod ini (Khamis), profil, garis masa dan gambar pos dari laman Facebook Ejen Ali disunting untuk mempunyai statik merah yang serupa dengan kemunculan Uno dalam video.
    • Imej profil dan garis masa menjadi herot-benyot pada hari Khamis, sehari sebelum siaran perdana.
  • Video pendek Uno bertanya "Apa khabar, ejen?" telah dikeluarkan pada laman Facebook dan Instagram Ejen Ali.
    • Ia juga digunakan dalam episod.
  • Di Facebook Ejen Ali terdapat beberapa siaran kod rahsia. Apabila dipecahkan, ia menunjukkan keadaan yang M.A.T.A. alami dalam episod ini. Kod-kod yang terungkai adalah seperti berikut:
    • "3 HARI LAGI"
    • "SAFEHOUSE KE HQ! SAFEHOUSE KE HQ!"
    • "SAFEHOUSE KE HQ, KAMI DISERANG MUSUH"
    • "AKTIFKAN SISTEM PERTAHANAN MAKSIMUM"
    • "KECEMASAN! KECEMASAN! TOLONG! HELLO? HELLO"
  • Beberapa ayat tafsiran dari halaman Facebook Ejen Ali digunakan dalam episod ini.
    • "SAFEHOUSE KE HQ! SAFEHOUSE KE HQ!" oleh Jenny
    • "AKTIFKAN SISTEM PERTAHANAN MAKSIMUM" oleh Rizwan
    • "KECEMASAN! KECEMASAN! TOLONG! HELLO? HELLO" oleh Ali
  • Ini adalah episod ketiga yang berlaku di luar masa persekolahan, yang pertama ialah MISI: COMOT.
  • Siaran perdana episod ini kebetulan jatuh pada hari Jumaat 13 hari bulan, hari yang dikatakan malang dalam kepercayaan tahyul Barat.
  • Warna latar penghargaan hujung episod ini dari biru bertukar merah, menandakan situasi jalan cerita bertukar genting.
  • Selepas episod ini, profil dan garis masa gambar Facebook Ejen Ali digantikan dengan gambar Uno.

Kilasan[]

  • Terdapat beberapa persamaan antara episod ini dengan filem James Bond GoldenEye.
    • Djin mempunyai parut pada mukanya dari letupan, senasib dengan Alec Trevelyan, antagonis dalam filem tersebut.
    • Djin merupakan bekas anggota M.A.T.A. yang berpaling tadah gara-gara dikhianati agensi, menyerupai Trevelyan yang membelot kepada kerajaan British atas tindakan menyebabkan kematian ibu bapanya dan zaman kanak-kanaknya merana.
    • Cubaan Ali mencapai Override Mode dihalang oleh Jenny yang merenjatnya dengan pena, menyerupai babak di mana Bond terkena ubat bius ketika cuba menembak Trevelyan.

Video[]

PaparSunting Episod
Musim 1 MISI: I.R.I.S.MISI: ALPHAMISI: SERIMISI: COMOTMISI: BLUEPRINTMISI: BANGKITMISI: PROTOKOL GEGASMISI: PRESTASIMISI: POTENSIMISI: SENSASIMISI: BUKTIMISI: UNOMISI: OVERRIDE
Musim 2 MISI: AKADEMIMISI: ORIENTASIMISI: MAINMISI: ANALOGMISI: CABARMISI: SUSUMISI: KEMBALIMISI: TUJUANMISI: PERANANMISI: ATLASMISI: HARAPANMISI: DIEZMISI: LEGASI
Musim 3 MISI: ARENAMISI: BOLEHMISI: UPGRADEMISI: BALASMISI: BLACKOUTMISI: BURUMISI: JERATMISI: UBAHMISI: HYBRIDMISI: KHEMAHMISI: GETIRMISI: SENGATMISI: JAGUH
Advertisement